Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus kepada guru peringkat persekolahan dan dan pensyarah institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta bagi perjalanan domestik susulan sesi pembelajaran yang akan bermula.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tarikh penempahan bermula dari 9 Julai sehingga 10 Ogos untuk tarikh perjalanan dari 10 Julai sehingga 30 November 2020.

Diskaun boleh diperolehi melalui tempahan dalam talian dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurutnya, diskaun sebanyak 20 peratus kepada pelajar melalui program MH Explorer yang boleh diperolehi dengan menjadi ahli MH Explorer melalui sesawang rasmi Malaysia Airlines.

Diskaun pelajar ini akan terus dinikmati sehingga 30 November 2020 atau tempoh keahlian tamat mengikut syarat keahlian MH Explorer.

Ismail Sabri berkata, tawaran oleh Malaysia Airlines itu susulan cadangan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP, setelah meneliti pembentangan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berkenaan harga tiket penerbangan yang masih tinggi.

Mesyuarat tersebut mencadangkan agar harga istimewa diberikan kepada pelajar, guru dan pensyarah yang akan belajar dan bertugas semula.

”Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Izham Ismail telah mengunjungi saya untuk mengadakan perbincangan mengenai harga tiket penerbangan.

“Alhamdulillah, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pengurusan Malaysia Airlines atas kesudian untuk menawarkan diskaun-diskaun ini.

”Diharapkan syarikat-syarikat penerbangan lain juga boleh turut serta dalam usaha untuk menurunkan harga tiket penerbangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette