Foto Instagram Nelydia Senrose.

KUALA LUMPUR – Pelakon Nelydia Senrose berdepan saman oleh syarikat produk kosmetik, Chriszen Malaysia Sdn Bhd kerana didakwa melanggar kontrak sebagai duta pada tahun lalu.

Pengarah urusan Chriszen, Mandy Leong Cheng Mun berkata, pihaknya mahu menuntut pulangan wang sebanyak RM160,000 daripada Nelydia sebagai ganti rugi.

Jelas beliau, pihaknya telah membayar sebanyak RM102,000 kepada Nelydia bagi tujuan mempromosikan produk mereka.

Namun, bayaran itu tidak setimpal dengan tugas yang dijanjikan dan Nelydia didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab berkenaan termasuk enggan hadir pada majlis pelancarannya pengumumannya sebagai duta kerana ingin pergi bercuti.

“Sebaik dia (Nelydia) bersetuju dengan kontrak syarikat kami sebagai duta, saya sudah membayarnya sebanyak RM102,000 iaitu kira-kira 70 peratus daripada jumlah penuh.

“Bagaimanapun, dia gagal melaksanakan tanggungjawab apabila tidak melakukan aktiviti promosi dan publisiti seperti yang termaktub dalam kontrak.

Malah, pelakon itu juga didakwa tidak memberi kerjasama sebaiknya sebagai duta produk yang dilantik kerana hanya terbabit dengan satu sesi fotografi produk sahaja.

Prosiding perbicaraan hari pertama kes itu dijalankan hari ini di hadapan Hakim Shamsuddin Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Nelydia ketika ditemui di perkarangan mahkamah enggan mengulas lanjut mengenai tuntutan berkenaan dan menyerahkan kepada pihak mahkamah.

“Maaf saya tak boleh komen apa-apa mengenai kes ini kerana tidak mahu mengganggu proses mahkamah. Apapun, kehadiran saya di sini adalah sebagai tanda kerjasama penuh diberikan terhadap perbicaraan kes ini,” katanya. – MalaysiaGazette