Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah baginda bimbang dan risau dengan situasi semasa rakyat khususnya di Selangor.

Titah baginda, perasaan bimbang dan risau itu disebabkan ramai rakyat negeri itu yang dilihat semakin mengabaikan amalan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mencegah penularan wabak berbahaya Covid-19.

Menerusi pemerhatian baginda sendiri, ramai rakyat yang tidak lagi mematuhi garis panduan yang ditetapkan, seperti berada di tempat-tempat awam tanpa memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak sosial.

Baginda sangat bimbang sekiranya masih ramai yang berdegil dan tidak mengamalkan norma-norma baharu ini, gelombang kedua penularan akan muncul dan menjejaskan ekonomi dan kehidupan seharian rakyat.

Justeru, baginda menyeru agar semua rakyat terus mengamalkan disiplin yang tinggi dengan sentiasa memakai pelitup muka, membersihkan tangan menggunakan sanitizer atau sabun dan mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter.

“Jika tidak sihat atau sakit, jangan keluar ke tempat awam. Saya tidak mahu rakyat terus hidup dalam suasana yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan, seterusnya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” titah baginda lagi.

Dalam pada itu, baginda turut menyeru agar rakyat menghargai jasa dan pengorbanan petugas-petugas di barisan hadapan khususnya di hospital-hospital serta tidak menambah bebanan tugas mereka.

Titah baginda lagi, selagi vaksin untuk wabak Covid-19 belum ditemui, baginda berharap setiap rakyat berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi SOP yang disebutkan tadi kerana ini sahaja cara yang terbukti berkesan bagi menghapuskan wabak berbahaya ini. -MalaysiaGazette