DPIM
Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM), Abdul Mohsein Mohd Shariff

KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) menyeru kerajaan lebih peka dengan desakan usahawan-usahawan teknologi agar memberi keutamaan kepada pemain industri tempatan dalam penggunaan teknologi dan kandungan tempatan dalam aplikasi dan sistem kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Abdul Mohsein Mohd Shariff menyokong rintihan Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) yang mendesak kerajaan menyokong syarikat ICT tempatan untuk kemajuan ekonomi Malaysia.

“Justeru, DPIM merasakan sudah tiba masa pasca PKP ini untuk kerajaan mewujudkan satu dasar yang jelas tentang keutamaan penggunaan produk ICT dan kandungan tempatan dalam semua aplikasi dan sistem kerajaan terutama untuk aplikasi agensi kerajaan dan kementerian.

“DPIM sedar akan kesukaran syarikat tempatan untuk mendapatkan penilaian dan persepsi yang saksama apabila produk asing turut dinilai oleh kerajaan.

“Namun DPIM berpandangan bahawa adalah wajar untuk kerajaan mendahulukan penggunaan produk tempatan jika mampu memberi kualiti dan keberkesanan yang sama dengan harga yang lebih berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan pengaliran wang perbelanjaan negara dipelihara di dalam negara hanya dapat dilakukan dengan penglibatan lebih banyak penggunaan teknologi dan kandungan tempatan yang dibangunkan usahawan ICT tempatan.

“DPIM mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha kerajaan yang sentiasa menyokong suntikan dana kepada usahawan tempatan bagi membangunkan lebih banyak teknologi dan kandungan tempatan.

“Namun begitu usaha itu akan menjadi sia-sia sekiranya suntikan dana dan subsidi, tidak membawa kepada kelestarian penggunaan teknologi tempatan pada sekala komersial di kalangan agensi kerajaan dan kementerian,” katanya.

Katanya lagi, dengan penggunaan teknologi dan kandungan ICT tempatan secara optimum, DPIM yakin Malaysia akan mampu melahirkan lebih ramai pemain industri yang mempunyai kepakaran dan dapat mengkomersialkan teknologi mereka sehingga mencapai status unicorn.

“DPIM berharap agar kerajaan memandang serius dalam perkara ini dan terus menyokong segala usaha merancakkan ekonomi dan pendigitalan negara dengan membuka ruang saksama kepada pemain industri tempatan dalam teknologi ICT.

“Ia sekali gus dapat menyumbang membina negara ke arah pendigitalan secara menyeluruh dan revolusi industri 4.0,” katanya lagi. – MalaysiaGazette