Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah lelaki sedang disiasat polis kerana didakwa mencabul doktor pelatih lelaki dalam kejadian 4 November tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun yang bekerja dengan suspek.

Katanya, polis menerima laporan daripada mangsa yang merupakan doktor pelatih pada 17 Februari lalu.

“Setelah membuat laporan polis tersebut, pada awalnya, pengadu tidak mahu meneruskan tindakannya.

“Kemudian, pada 7 Julai lalu, pengadu sekali lagi meminta pihak polis untuk meneruskan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mazlan, menurut laporan doktor, pelatih itu mendakwa dicabul pada kira-kira pukul 12 tengahari 4 November oleh suspek di dalam bilik pejabat suspek di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Ujar beliau, pengadu lewat membuat laporan polis kerana khuatir kerjayanya musnah memandangkan suspek adalah penyelia kepada pengadu dan merupakan seorang yang berpengaruh.

“Suspek yang bekerja sebagai seorang pensyarah juga merupakan pengasas kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

“Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak polis.

“Polis Kuala Lumpur ingin menasihatkan mangsa kes sebegini untuk tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan terhadap pelaku dan hukuman yang setimpal mengikut peruntukan undang-undang dapat dikenakan kepada sesiapa yang terlibat,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana–mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.