Suspek utama, Datuk Ramachandran Kandasamy (tengah) bersama yang lain dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan menculik dan membunuh seorang pemaju hartanah, Datuk Seri Arumugam di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 09 JULAI 2020.

PETALING JAYA – Datuk Ramachandran Kandasamy bersama lima individu lain dibawa di mahkamah di sini pagi ini bagi menghadapi pertuduhan menculik dan membunuh seorang pemaju hartanah, Datuk Seri Arumugam pada 10 Jun lalu.

Kesemua individu termasuk Ramachandran, 51, yang berbaju lokap warna jingga di bawa dengan tangan bergari dengan menaiki van polis yang dikawal ketat.

Van membawa kesemua suspek tiba ke perkarangan Mahkamah Petaling Jaya pada jam 9.40 pagi tadi.

Mereka antara 11 individu yang ditangkap terlibat dalam penculikan mangsa ketika jogging di Damansara Perdana sekitar 10 pagi pada 10 Jun lalu.

Mayat mangsa kemudian ditemui pada 27 Jun lalu pukul 9 pagi di Rawang sebelum tujuh suspek bersama dalang utama berpangkat Datuk ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, suspek utama mengugut keluarga mangsa dengan menuntut wang tebusan sebanyak RM154 juta selepas menculik mangsa.

Mayat kini berada di Hospital Serdang untuk laporan bedah siasat.- MalaysiaGazette