Parti Gerakan akan melancarkan satu petisyen dalam talian untuk mengumpul tandatangan orang ramai untuk memprotes projek terowong dasar laut dan tiga jalan utama yang tidak bermanfaat.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Pulau Pinang akan melancarkan satu petisyen dalam talian untuk mengumpul tandatangan orang ramai memprotes projek terowong dasar laut.

Ia juga bagi memprotes tiga jalan utama yang sebenarnya tidak memanfaatkan orang ramai tetapi membawa keuntungan kepada konsortium terlibat sahaja, kata pengerusinya, Oh Tong Keong.

Projek itu bernilai RM6.3 bilion yang ingin dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang yang diperintah oleh DAP.

“Petisyen ini bertujuan untuk menunjukkan ketidakpuashatian terhadap sikap kerajaan negeri Pulau Pinang yang berdiamkan diri dalam isu ini terutamanya laporan kebolehlaksanaan dan butiran rekaan projek terowong dasar laut dan tiga jalan utama yang bernilai RM350 juta itu yang telah ditangguhkan sejak tahun lepas.

“Namun, pemaju telah mendapat keuntungan dalam projek ini sebelum terowong itu dibina dengan menggunakan tanah tambakan laut yang seluas 110 ekar yang bernilai pasaran sebanyak RM2.8 bilion yang diberi oleh kerajaan negeri untuk membina projek perumahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oh Tong Keong.

Menurut Tong Keong, rakyat berhak mengetahui status perkembangan laporankebolehlaksanaan dan butiran rekaan projek terowong dasar laut dan tiga jalan utama yang bernilai RM350 juta itu.

“Perkara yang tidak dapat diterima oleh rakyat adalah sebelum laporan itu siap disediakan, kerajaan negeri sudah tidak sabar untuk menyerahkan hak tanah kepada pemaju dan menggunakan lapan hari untuk meluluskan projek pembangunan kondominium mewah oleh pemaju di tanah tambakan tersebut.

“Ini satu perkara yang sangat luar biasa. Hal ini demikian kerana MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) dengan hanya menggunakan lapan hari untuk meluluskan projek perumahan itu, kecekapan MBPP itu amat menakjubkan, agensi itu mungkin merupakan kerajaan tempatan yang paling cekap di Malaysia dalam meluluskan projek perumahan,” sindirnya.

Malangnya, menurut Tong Keong, kerajaan Pulau Pinang bersikap sombong dan enggan menjawab pertanyaan yang diutarakan pihaknya.

“Setelah EWEIN memutuskan untuk menarik diri daripada projek pembangunan bersama Consortium Zenith Construction, rakyat Pulau Pinang tertanya-tanya adakah ia akan mempengaruhi projek terowong dasar laut?

“Projek pembangunan belum bermula tetapi konsortium sudah mendapat keuntungan. Yang mengejutkan adalah konsortium yang terlibat itu tiba-tiba menarik diri tetapi projek terowong dasar laut itu masih belum ada perkembangan. Inilah yang tidak dapat diterima oleh rakyat,” ujarnya.

Bagaimanapun, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu itu walaupun pihak kerajaan negeri didakwanya bersikap sombong.

“Sebaliknya kami akan terus memantau perkembangan projek ini dan prestasi kerajaan negeri. Dengan ini, kami melancarkan petisyen dalam talian ini untuk memprotes tindakan yang diambil kerajaan negeri Pulau Pinang dalam mengendalikan projek terowong ini,” katanya.

Pihaknya mengalu-alukan semua rakyat Pulau Pinang yang mencintai negeri kami menyertai kempen kami dengan menandatangani petisyen ini melalui laman web http://chng.it/WgdTcddp.

Dalam pada itu, Gerakan Pulau Pinang juga mendakwa sepanjang 12 tahun Pakatan Harapan memerintah negeri itu, mereka telah menjual banyak tanah dan tidak memberi manfaat kepada rakyat seperti 110 ekar tanah tambakan laut yang memanfaatkan konsortium melalui projek terowong dasar laut.

“Ini hanya menjadikan orang kaya menjadi lebih kaya. Tanah-tanah ini terutamanya yang dijual kepada konsortium untuk pembangunan perumahan yang mahal hanya menguntungkan pelabur tertentu dan bukannya rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Beliau mendakwa jumlah tanah yang telah dijual itu adalah seluas 5446.8 ekar dan hanya 1.7 ekar digunakan untuk pembangunan perumahan kos rendah dan perumahan kos sederhana rendah. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. hahahhahahah..
    ini xlain xbukan hanyalah utk ambil hati PN,
    bini baru da sakit nk mampos baru teringat kt bini lama,
    sial punya komunis

  2. Gerakan ini seperti ular kepala dua.
    Lepas batuk di tangga.
    Menadah Lilah diari keruh.

Comments are closed.