Aktiviti pawagam pandu masuk yang ditutup sepanjang PKP Mac lalu akan dibuka dalam tempoh terdekat selepas kerajaan memperincikan SOP.

KUALA LUMPUR – Selepas dua minggu pawagam dan teater beroperasi, hari ini Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bersetuju membenarkan permohonan aktiviti pawagam pandu masuk.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan itu bagaimanapun tertakluk kepada prosedur standard operasi (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, antara SOP itu ialah pengunjung mesti berada dalam kenderaan masing-masing, manakala penjualan makanan perlu dibuat atas talian dan mengambil makanan secara pandu lalu.

“Kita juga akan memastikan anggota Ikatan Relawan (Rela) ditempatkan di lokasi berkenaan untuk mengawal pergerakan pengunjung.

“SOP ini akan diperincikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi rujukan semua operator terlibat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pada 22 Jun lalu, kerajaan bersetuju membenarkan semula aktiviti kolam renang, pawagam dan teater bermula 1 Julai lalu berdasarkan beberapa pematuhan ditetapkan.

Sementara itu, pihaknya memaklumkan, sebanyak enam tapak binaan telah diberi teguran dalam bentuk nasihat kerana tidak mematuhi SOP, manakala enam lagi tidak beroperasi.

Kata Ismail Sabri, jumlah itu adalah daripada 58 tapak binaan di seluruh negara yang dibuat pemeriksaan mengejut oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Hasil pemeriksaan itu, 46 tapak binaan telah mematuhi SOP ditetapkan.

“Jumlah kumulatif tapak binaan tidak mematuhi SOP sehingga semalam sebanyak 521. Semuanya diberikan amaran, manakala 19 tapak binaan lagi diarah tutup kerana gagal mematuhi SOP,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob.

Setakat ini, jelas beliau sebanyak 2,896 tapak binaan telah diperiksa.

Berhubung barang keperluan asas, Ismail Sabri berkata, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan melibatkan 838 premis perniagaan termasuk peruncit, pemborong dan pengilang.

Secara keseluruhan katanya, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

“Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,795 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,772 premis patuh, manakala 23 premis lagi diberi nasihat kerana tidak patuh.

“Dalam tempoh PKPP ini, kita menggesa pengusaha dan orang ramai sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya. – MalaysiaGazette