Gelagat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (kanan) menyerahkan buku pasca perintah kawalan pergerakan (PKP) kepada Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus (dua kanan) dan diiringi Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Abdul Rahman Mohamad (kiri) pada Perhimpunan Bulanan (KPLB) di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) ditukarkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, keputusan itu ekoran mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu bersetuju untuk menambahbaik pelaksanaan kedua-dua majlis berkenaan.

“JPKK akan dikuatkuasakan di 10 buah negeri yang ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan iaitu Johor, Melaka, Perak, Pahang, Kedah Perlis, Kelantan Terengganu, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“JPKK akan dikuatkuasakan di 10 negeri pentadbiran Perikatan Nasional dan JPKKP di empat negeri pembangkang iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar hari ini.

Abd Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing berkata, antara pembaharuan lain yang dilaksana kementeriannya adalah penambahbaikan prosedur pelantikan anggota iaitu dengan mewujudkan jawatankuasa peringkat daerah atau Parlimen yang akan melaksana tapisan pemilihan calon mengikut pembahagian komposisi parti komponen kerajaan persekutuan.

“Senarai calon anggota ini kemudiannya akan dipertimbangkan oleh pihak berkuasa melantik iaitu Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi negeri-negeri JPKK dan Menteri Pembangunan Luar Bandar bagi negeri-negeri JPKKP,” katanya.

Bagaimanapun, semua lantikan itu hendaklah terlebih dahulu diperakukan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri.

Jumlah JPKK dan JPKKP yang akan diwujudkan di seluruh negara adalah sebanyak 15,434 dan melibatkan keseluruhan anggota seramai 128,930 orang dengan kesemua pelantikan dijangka selesai pada Ogos nanti. – MalaysiaGazette