Che Abdul Aziz (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan peribadi Presiden Putra dan Putra Bahagian Tanah Merah kepada adik Nursazwani untuk kos penbedahan katarak di Bukit Gading, Tanah Merah, Kelantan.

KUALA LUMPUR – Hasrat adik Nursazwani Mohamad Rokiman Hafizi hendak belajar seperti rakan sekelasnya yang lain bakal tercapai apabila akan menjalani pembedahan katarak dalam tempoh terdekat ini.

Murid Tahun 2 Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gading, Tanah Merah, Kelantan itu tidak dapat belajar dengan sempurna kerana hilang penglihatan akibat kerosakan pada kanta matanya setahun lalu.

Bapanya, Mohamad Rokiman tidak dapat membawa Nursazwani untuk rawatan katarak yang memerlukan kos ribuan ringgit kerana terhimpit dengan kemiskinan.

Justeru, penderitaan Nursazwani selama lebih setahun ini bakal menyinar apabila Presiden Putra Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali akan membiayai sepenuhnya kos pembedahan katarak bagi kedua belah matanya itu.

Sumbangan peribadi itu disampaikan Ketua penaja Putra Bahagian Tanah Merah, Datuk Che Abdul Aziz Che A. Hamid di rumah Mohamad Rokiman di Kampung Bukit Gading, dekat Tanah Merah.

Putra Bahagian itu juga turut menyerahkan sumbangan RM1,000 untuk kos tempahan “manik mata” Nursazwani yang akan menjalani pembedahan di Hospital Terengganu.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Tok Him dan Putra Bahagian Tanah Merah atas sumbangan besar ini.

“Anak saya hilang penglihatan ketika umur tujuh tahun dan pembelajarannya terganggu selepas mengalami kerosakan katarak pada dua matanya.

“Dengan sumbangan ini, Nursazwani akan dapat menjalani pembedahan di kedua belah matanya. Sekarang, saya tunggu tarikh dari Hospital Terengganu,” kata Mohamad Rokiman yang bekerja sebagai buruh.

Mengakui tidak dapat menahan kesedihan melihat penderitaan anaknya, Mohamad Rokiman berkata, dia dan isteri hanya mampu berdoa kepada tuhan agar suatu hari nanti penglihatan Nursazwani akan pulih.

Katanya, dia tidak sangka doanya termakbul apabila minggu lalu didatangi Che Abdul Aziz yang menyatakan Tok Him sedia menanggung kos pembedahan itu.

Adik Nursazwani akan menjalani pembedahan katarak di Hospital Terengganu.

“Dengan pendapatan yang kecil dan hanya cukup untuk makan minum kami keluarga, saya dan isteri hanya mampu berdoa untuk kebaikan anak-anak.

“Nursazwani berjanji pada kami, jika penglihatannya pulih, dia akan belajar rajin-rajin dan jadi anak yang berjaya untuk bela keluarga,” katanya terharu. – MalaysiaGazette