Haniza Mohd Talha

KUALA LUMPUR – Susulan pemecatan keanggotaan Haniza Mohamad Talha daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) 29 Jun lalu, jawatan Exco Selangor yang disandangnya terlucut berkuatkuasa hari ini.

Kekosongan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar kini akan diisi dan dipangku oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Hari ini adalah hari terakhir Yang Berhormat Haniza Mohamed Talha berkhidmat sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar.

“Kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan YB Puan Haniza Mohamed Talha dan selamat maju jaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, MMKN telah bermesyuarat erkenaan status Haniza bersesuaian dengan keputusan PKR berkenaan pelucutan keanggotaan beliau.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan berkenaan hal itu dalam majlis sembah maklum yang diadakan pada Khamis lalu.

Sebelum ini, PKR telah memecat lima pemimpinnya membabitkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua ketua wanita negeri.

Selain Haniza, mereka yang dipecat ialah dua ADUN Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin (Permatang Pauh) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim dalam kenyataan media berkata, keputusan itu dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat 28 Jun lalu selepas menerima syor daripada lembaga itu.

Haniza yang juga ADUN Lembah Jaya dan Dr Afif yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digantung keahlian oleh parti itu pada Mei lalu. – MalaysiaGazette