KUALA LUMPUR – Pendapatan purata di Malaysia adalah RM7,901 manakala pendapatan penengah Malaysia pula sebanyak RM5,873.

Dari sudut pertumbuhan, pendapatan penengah di Malaysia tumbuh 3.9 peratus setahun bagi tahun 2019 berbanding 6.6 peratus pada tahun 2016.

Oleh itu, pendapatan purata meningkat lebih tinggi 4.2 peratus pada tahun 2019, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, pendapatan isi rumah penengah di bandar mencatatkan peningkatan pada kadar 3.8 peratus daripada RM5,860 pada 2016 kepada RM6,561.

Pada masa yang sama, pendapatan isi rumah penengah di luar bandar turut bertambah pada kadar 3.3 peratus bagi tempoh yang sama iaitu daripada RM3,471 kepada RM3,828.

Pendapatan isi rumah yang dirujuk pada masa ini adalah pendapatan isi rumah kasar dan masih termasuk pendapatan yang perlu dibayar sebagai cukai dan skim keselamatan sosial.

Manakala pendapatan isi rumah purata di bandar pula meningkat 3.9 peratus setahun daripada RM7,671 kepada RM8,635 sementara di luar bandar, pendapatan isi rumah purata adalah RM5,004 pada 2019, meningkat 0.8 peratus lebih tinggi daripada paras nasional sebanyak 4.6 peratus.

Beliau berkata, Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan penengah tertinggi iaitu RM10,549 diikuti oleh Putrajaya (RM9,983), Selangor (RM8,210), Labuan (RM6,726), Johor (RM6,427), Pulau Pinang (RM6,169) dan Melaka (RM6,054).

Putrajaya mencatatkan peningkatan tertinggi kadar pertumbuhan tahunan dikompaun bagi pendapatan penengah iaitu 6.3 peratus dalam tempoh 2016 hingga 2019 iaitu lebih 1.6 kali ganda daripada kadar pertumbuhan penengah nasional, 3.9 peratus.

Lapan negeri lain yang juga melepasi kadar pertumbuhan penengah nasional, iaitu Terengganu (5.6%), W.P. Kuala Lumpur (5.0%), Kelantan (4.9%), Pulau Pinang (4.4%), Johor (4.3%), Selangor (4.3%), W.P. Labuan (4.2%) dan Kedah (4.2%).

Mohd Uzir berkata, secara purata pula, ketiga-tiga wilayah persekutuan merekodkan nilai pendapatan purata lebih tinggi daripada paras nasional, RM7,901.

Selain itu, Selangor dan Johor turut merekodkan nilai pendapatan purata lebih tinggi daripada paras nasional dengan pendapatan purata masing-masing adalah RM10,827 dan RM8,013.

Pertumbuhan tertinggi pendapatan purata direkodkan oleh negeri Terengganu (5.5%), iaitu lebih 1.3 kali ganda melebihi kadar pertumbuhan purata nasional, 4.2 peratus.

Dapatan survei juga mencatatkan had pendapatan bagi kumpulan B40 pada tahun 2019 yang merangkumi 2.91 juta isi rumah adalah RM4,849.

Had pendapatan kumpulan M40 yang melibatkan 2.91 juta isi rumah pula adalah di antara RM4,850 hingga RM10,959.

Sementara itu, sebanyak 1.46 juta isi rumah berada di kumpulan T20 dengan pendapatan melebihi RM10,960.

Dari segi agihan pendapatan, T20 memiliki 46.8 peratus dari jumlah pendapatan isi rumah berbanding 46.2 peratus pada tahun 2016.

Kumpulan M40 pula memiliki 37.2 peratus, manakala B40 pula hanya menguasai 16 peratus dari jumlah pendapatan, berkurangan daripada 16.4 peratus pada 2016.

Pendapatan isi rumah boleh guna bulanan penengah RM5,116 pada tahun 2019 meningkat 4.2 peratus daripada RM4,513 pada tahun 2016.

Manakala, pendapatan isi rumah boleh guna bulanan purata adalah RM6,764 daripada RM5,928 yang dicatatkan pada tahun 2016.

Pendapatan boleh guna purata yang direkodkan pada tahun 2019 ini meliputi 85.6 peratus dari jumlah pendapatan kasar purata.

Mengikut konsep, pendapatan boleh guna merujuk kepada jumlah pendapatan selepas ditolak bayaran pindahan semasa termasuklah bayaran wajib yang dikenakan ke atas isi rumah seperti cukai, zakat dan caruman kepada skim keselamatan sosial.

Penemuan 2019 menunjukkan nilai pekali Gini yang dikira berdasarkan pendapatan kasar meningkat sebanyak 0.008 mata peratus daripada 0.399 (2016) kepada 0.407 (2019).

Bagi tempoh tersebut, pekali Gini di kawasan bandar meningkat daripada 0.389 kepada 0.398 manakala pekali Gini di luar bandar meningkat daripada 0.364 kepada 0.367.

Pekali Gini bagi etnik Bumiputera telah meningkat daripada 0.385 kepada 0.389 manakala bagi etnik Cina telah meningkat daripada 0.411 kepada 0.417. Pekali Gini bagi etnik India turut mencatatkan peningkatan daripada 0.382 kepada 0.411.

Pekali Gini juga boleh diukur berdasarkan pendapatan boleh guna dimana ia meningkat 0.2 mata peratus daripada 0.391 (2016) kepada 0.393 (2019).

Bagi tempoh tersebut, pekali Gini di kawasan bandar meningkat daripada 0.380 kepada 0.385 manakala pekali Gini di luar bandar menurun daripada 0.365 kepada 0.361.

Pekali Gini bagi etnik Bumiputera telah menurun daripada 0.380 kepada 0.377 .

Tetapi pekali Gini Cina dan India meningkat daripada 0.396 kepada 0.399 dan India daripada 0.372 kepada 0.399.

”Berdasarkan metodologi 2019 ini, nilai purata paras garis kemiskinan (PGK) di peringkat nasional ialah RM2,208 sebulan manakala purata nilai PGK makanan adalah RM1,038 sebulan dengan purata saiz isi rumah seramai 3.9 orang.

”Nilai purata PGK ini diperoleh dengan menambahkan kesemua nilai PGK bagi setiap isi rumah dan dibahagikan dengan bilangan keseluruhan isi rumah di Malaysia,” ujar beliau.

Insiden kemiskinan mutlak keseluruhan bertambah baik daripada 7.61 peratus pada 2016 kepada 5.6 peratus.

Dalam tempoh yang sama, insiden kemiskinan mutlak di bandar dan luar bandar turut mencatatkan penurunan masing-masing kepada 3.8 peratus dan 12.4 peratus.

Sementara itu kemiskinan tegar direkodkan sebanyak 0.4 peratus pada tahun 2019 berbanding 0.62 peratus pada tahun 2016.

Berdasarkan survei, peratusan rumah yang dimiliki oleh isi rumah telah meningkat sebanyak 0.6 mata peratus daripada 76.3 peratus pada 2016 kepada 76.9 peratus.

Dalam tempoh yang sama peratusan tempat kediaman yang disewa juga meningkat sebanyak 0.2 mata peratus kepada 19.8 peratus.

Namun begitu, peratusan isi rumah yang mendiami kuarters menurun 0.8 mata peratus kepada 3.3 peratus, katanya. – MalaysiaGazette