Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd tidak menolak kemungkinan berlaku penggabungan antara Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) dan Kumpulan AirAsia.

“Dalam hidup, jangan sekali-kali mengatakan tidak kepada apa-apa,” jawab Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam temu bual dengan Bloomberg TV.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan penggabungan dua syarikat penerbangan itu.

Kumpulan AirAsia memiliki entiti AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd (AAX).

Menurut Shahril, untuk terus bergerak maju, syarikat penerbangan perlu bekerjasama antara satu sama lain bagi memulihkan keadaan semasa yang terjejas akibat Covid-19.

Sektor penerbangan antara yang terjejas teruk ekoran penularan wabak koronavirus kerana seluruh dunia mengenakan sekatan perjalanan termasuk udara.

Beliau mengakui pada tahun lalu, Khazanah mempertimbangkan beberapa pilihan kerjasama untuk Malaysia Airlines, antaranya Japan Airlines sebagai jalan terbaik pada ketika itu.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, tidak ada peruntukan sebanyak RM5 bilion daripada Khazanah untuk Malaysia Airlines

Dua hari lalu, Khazanah memaklumkan ia sedang menunggu pelan pemulihan daripada syarikat penerbangan itu sebelum memutuskan bantuan yang dapat diberikan untuk menyokong syarikat penerbangan nasional yang terkesan oleh Covid-19.

Semasa dalam sesi sesi Invest Malaysia itu, Shahril Ridza, berkata krisis yang Covid-19 amat menyukarkan semua syarikat penerbangan termasuk yang berkaitan dengan perjalanan.

“Kami sedang menunggu untuk mengetahui apakah pelan (Malaysia Airlines) dan kemudian akan memberikan input selain melihat apakah bantuan yang boleh diberikan untuk membantu mereka dengan pelan itu. Namun, ia akan mengambil masa untuk dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette