Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Polis telah menerima aduan tiga lagi mangsa yang didakwa menjadi mangsa pencabulan oleh seorang pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada November 2019.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, suspek juga seorang pensyarah perubatan didakwa mencabul doktor pelatih yang merupakan seorang lelaki juga.

“Pihak polis telah menerima aduan dari tiga mangsa, susulan dakwaan seorang aktivis berhubung dakwaan mencabul seorang doktor pelatih pada November tahun lalu.

“Keterangan turut direkodkan dari suspek itu sendiri dalam siasatan kes tersebut.

“Malah setakat ini tiga orang yang menjadi mangsa cabul suspek berkenaan telah tampil kepada polis dan memberi keterangan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Abdul Hamid, kes berkenaan akan ditangani secepat mungkin memandangkan laporan polis disusuli kertas siasatan juga telah dibuka polis.

“Kita akan tangani dengan segera kes ini yang mana siasatan masih diteruskan.

Terdahulu polis telah membuka kertas siasatan terhadap seorang aktivis sebuah NGO pemikir berhubung dakwaan mencabul seorang doktor pelatih pada November tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim yang mengesahkan insiden itu dalam kenyataan semalam bagaimanapun tidak memperincikan butiran lanjut dan seksyen yang dilibatkan dalam siasatan kes tersebut.

Sementara itu, individu yang dituduh itu dikatakan tampil menolak keras dakwaaan salah laku seksual terhadap dirinya dengan berkata, individu dan pertubuhan tertentu yang berusaha memusnahkan nama baiknya melalui “peras ugut dan kempen fitnah terancang” menerusi media. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Serius dakwaan ini, siapakah doktor juga dikatakan orang NGO yang sangat berpengaruh yang dimaksudkan?

    Ramai juga yang ingin tahu NGO apa yang diasaskannya?

Comments are closed.