Mohd Uzir Mahidin.

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tumbuh pada kadar 3.9 peratus setahun pada tahun lalu selari dengan pertumbuhan sederhana pendapatan isi rumah bulanan purata 4.2 peratus bagi tempoh 2016 hingga 2019.

Dari segi nilai, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata meningkat daripada RM4,033 pada 2016 kepada RM4,534 pada 2019.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan penengah mencatatkan RM3,654 pada 2019 berbanding RM3,314 pada 2016.

Menurutnya, perbelanjaan penggunaan isi rumah di kawasan bandar menunjukkan peningkatan pada kadar 3.7 peratus setahun daripada RM4,402 kepada RM4,916.

Manakala, di luar bandar meningkat pada kadar 3.6 peratus setahun daripada RM2,725 kepada RM3,038 bagi tempoh 2016 hingga 2019.

 

“Secara tidak langsung, ini menggambarkan perbelanjaan penggunaan isi rumah purata di kawasan bandar adalah 1.6 kali lebih tinggi daripada perbelanjaan isi rumah purata di kawasan luar bandar.

”Peningkatan perbelanjaan di bandar ini juga adalah dalam jajaran yang setara dengan peningkatan pendapatan purata isi rumah iaitu 1.7 kali lebih tinggi (RM8,635) berbanding kawasan luar bandar (RM5,004),” katanya.

Kos sara hidup juga tambah beliau secara relatif berbeza antara negeri disebabkan wujud perbezaan harga barangan, tingkat pendapatan isi rumah dan kemampuan isi rumah untuk menampung kenaikan harga barang.

Pada 2019, di peringkat negeri, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tertinggi direkodkan di W.P. Putrajaya (RM7,980).

Lima negeri lain turut mencatatkan perbelanjaan penggunaan isi rumah melebihi purata nasional (RM4,534) iaitu W.P. Kuala Lumpur (RM6,913), Selangor (RM5,830), Melaka (RM4,955), Johor (RM4,793) dan Pulau Pinang (RM4,630).

Mengulas lanjut, Mohd Uzir menambah, isi rumah di kawasan bandar mencatatkan peratusan perbelanjaan tertinggi di dalam kumpulan perbelanjaan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain iaitu 24.0 peratus.

Manakala, kumpulan perbelanjaan makanan dan minuman bukan alkohol merupakan peratusan perbelanjaan tertinggi bagi isi rumah di kawasan luar bandar (24.4%).

Kumpulan barang keperluan asas biasanya mendominasi perbelanjaan isi rumah. Perbelanjaan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (23.6%); makanan & minuman bukan alkohol (17.3%); restoran & hotel (13.9%); dan pengangkutan (13.5%) kekal sebagai komposisi utama perbelanjaan dan menyumbang 68.3 peratus kepada jumlah perbelanjaan penggunaan isi rumah pada 2019.

Empat kumpulan utama lain ialah pakaian & kasut, komunikasi, kesihatan dan pendidikan.

Selari dengan pembangunan negara, komposisi perbelanjaan bagi kesihatan dan pendidikan turut meningkat masing-masing sebanyak 0.2 mata peratus pada tahun 2019.

Katanya, corak perbelanjaan bagi empat kumpulan lain yang terdiri sebahagian besarnya daripada barangan pilihan turut meningkat selari dengan peningkatan pendapatan isi rumah.

Kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan meningkat masing-masing sebanyak 0.3 dan 0.1 mata peratus.

Sementara kumpulan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah juga meningkat 0.2 mata peratus. – MalaysiaGazette