Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap tujuh kakitangan agensi media antarabangsa Al Jazeera dibuat selepas menerima arahan Jabatan Peguam Negara, kata Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Ketua Polis Negara berkata, mereka yang dipanggil memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman  terdiri daripada editor, pemberita dan jurukamera.

Sambil memberi jaminan bahawa media di negara ini bebas membuat laporan tetapi pada yang sama beliau mengingatkan undang-undang menjaga keharmonian kaum dan agama perlu diambil serius.

Menurut Abdul Hamid, dokumentari Locked Up in Malaysia’s Lockdown yang disiarkan oleh agensi berita itu telah mendapat pelbagai reaksi dalam kalan rakyat Malaysia kerana wujud unsur mburukkan nama negara tanpa asas kukuh.

“Apa yang dilaporkan Al-Jazeera dalam domumentari itu mencetuskan kemarahan orang ramai. Saya tak boleh kata orang Malaysia gila dan marah tak tentu pasal.

“Malangnya ada beberapa perkara dalam doumentasi sentuh naluri rakyat, siasatan polis dapati fakta dan laporannya tidak tepat serta condong ke arah kononnya keadaan negara dan layanan terhadap migran asing di sini amat buruk (waktu PKP).

“Jabatan Peguam Negara telah teliti dokumentari itu dan mendapati ada unsur menyalahi Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia. Laporan berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman petang ini.

Mengulas lanjut kata, proses siasatan terhadap ketujuh-tujuh petugas Al Jazeera adalah prosedur biasa yang mana mereka tampil sebagai saksi untuk melengkapkan kertas siastan.

“Jikalau peguam negara mendapati ada unsur-unsur ke arah itu (hasutan) makan dia akan putuskan untuk pendakwaan dan sebagainya.

“Sekiranya mana-mana kakitangan mereka dikatakan menerima ugutan dalam media sosial, mereka boleh tampil buat aduan supaya polis boleh siasat. Manakala orang awam dinasihati agar kawal emosi kerana polis akan siasat seadilnya,” katanya.

Ditanya sama ada mereka yang disiasat boleh meninggalkan negara, Abdul Hamid berkata, beliau akan menyemak perkara tersebut dengan Peguam Negara yang akan menentukan sama ada kes tersebut akan dibawa ke muka pengadilan atau sebaliknya.

Katanya, kesemua kakitangan Al Jazeera yang dipanggil memberi keterangan hari ini masih dibenarkan bertugas seperti biasa dan sekiranya Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa, mereka akan diberi akses kepada peguam.

Mengulas lanjut tempoh masa proses siasatan kes Al-Jazeera dilangkapkan, Hamid menjangkakan kertas siasatan itu dilengkapkan awal minggu depan dan akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kita sudah panggil enam orang individu dari AlJazeera sebagai saksi untuk memberi keterangan. ada seorang lagi saksi ketujuh dipanggil hari ini atau awal Isnin sebelum melengkapkan kertas siasatan sekiranya proses rakam keterangan dari mereka sudah selesai,” tegas beliau. – MalaysiaGazette