Sukan permotoran dan kereta di Litar Sepang boleh beroperasi semula mulai 15 Julai ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan membenarkan sektor sukan dan rekreasi fasa 3 dan 4, iaitu penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton yang melibatkan aktiviti tiada bersentuhan beroperasi mulai 15 Julai ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti itu melibatkan perlumbaan motosikal dan kereta di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta litar tempatan yang lain.

Kata beliau, kejohanan badminton perseorangan, tenis perseorangan, gimnastik perseorangan, terjun papan anjal dan kejohanan catur juga dibenarkan beroperasi mulai Rabu ini.

Ismail Sabri Yaakob

“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP telah meneliti pembentangan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai cadangan untuk pembukaan sektor sukan dan rekreasi ini dan kerajaan bersetuju untuk membenarkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas mengenai Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal lain yang dibenarkan pada 15 Julai ini juga turut melibatkan sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, bola keranjang, takraw dan sukan tempur iaitu karate, silat, taekwondo dan sebagainya.

Jelas beliau, pengusaha padang komersial seperti operator gelanggang futsal, fasiliti sukan dan akademi juga dibenarkan beroperasi semula pada hari itu.

Bagaimanapun, katanya, bagi penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton untuk sukan bersetuhan fizikal seperti sukan berpasukan bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang, skuasy hanya dibenarkan bermula pada 15 Ogos ini.

“Yang dibenarkan 15 Ogos ini seperti kejohanan atau pertandingan sukan berpasukan seperti Liga Super dan  Liga Premier bola sepak (MFL), Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki (MHL), Liga Ragbi (MRL).

“Pelaksanaan aktiviti sukan dan penganjuran kejohanan perlu diadakan dalam keadaan yang terkawal oleh operator premis dan penganjur acara dengan prosedur standard operasi (SOP) Am Pengurusan, SOP Am Pra-Penganjuran dan SOP Am Penganjuran yang perlu dipatuhi,” katanya.

Kata beliau, semua SOP akan dimuat naik oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat untuk rujukan.

Namun, ujar beliau, kerajaan masih tidak membenarkan sebarang penganjuran acara antarabangsa yang melibatkan peserta dari luar negara untuk masa ini. – MalaysiaGazette