Gerakan mencadangkan perumahan flat dipasang jeriji besi demi keselamatan.Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi memerlukan dasar membasmi kemiskinan dengan strategi yang lebih tuntas dan fokus kepada pemerkasaaan berasaskan keperluan.

Strategi tersebut, menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan penting bagi mengelakkan berlakunya kesilapan lepas yang hanya mengenal pasti kaum tertentu sahaja sebagai golongan miskin yang harus dibantu.

“Saya tidak pernah menjangka wujudnya suatu masa di mana Malaysia memerlukan dasar membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat dalam pada abad ke-21 ini.

“Namun, inilah realitinya dalam tahun 2020. Kita akhirnya tidak mencapai status negara maju tetapi terus berhadapan dengan pelbagai cabaran mengatasi kesenjangan dan kemiskinan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.

Mohamad Hasan

Mohamad yang juga ADUN Rantau menarik perhatian mengenai langkah kerajaan yang dijangka mengumumkan strategi seterusnya sebagai ikhtiar ‘resetting’ semula ekonomi Malaysia.

Katanya, adalah sangat penting ikhtiar tersebut memberikan perhatian khusus bukan sahaja kepada usaha merancakkan ekonomi dan menyelamatkan perniagaan, tetapi juga mengemukakan strategi baru bagi membasmi kemiskinan.

Ini kerana, menurut beliau, semenjak pra-pandemik Covid-19 lagi, garis kemiskinan di Malaysia sememangnya telah dirasakan terlalu rendah dan tidak selari dengan kos kehidupan di negara ini.

Untuk itu, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi perhatian khusus kepada dua golongan sasaran iaitu masyarakat miskin bandar dan masyarakat luar bandar berikutan cabaran yang dihadapi kedua-dua pihak adalah berbeza.

Artikel berkaitan: Pendapatan Garis Kemiskinan baharu dinaikkan kepada RM2,208 sebulan

Mohamad berkata, masyarakat miskin bandar perlu berhadapan dengan krisis kehilangan pekerjaan dan masalah kelangsungan kehidupan kerana kos kehidupan yang mencabar.

Mereka yang miskin di kawasan luar bandar pula dibelenggu dengan masalah harga komoditi yang suram, akses kepada pasaran dan produktiviti yang rendah kerana tiadanya innovasi.

Malah, katanya, insiden kemiskinan mutlak di luar bandar pada tahun 2019 ialah 12.4 peratus, jauh lebih tinggi daripada kadar 3.8 peratus di bandar.

“Peningkatan kadar kemiskinan secara drastik dampak krisis ekonomi kali ini juga akan menyukarkan usaha kita untuk mengenal pasti dan mengklasifikasikan masyarakat ke dalam kumpulan B40, M40 dan T20.

“Semua parameter klasifikasi ini kini telah bertindih dan Malaysia bakal menyaksikan peningkatan kadar kemiskinan merentasi kaum, dengan tempias yang paling hebat secara amnya terhadap golongan Bumiputera dan India,” katanya.

Artikel berkaitan: MTUC puji langkah keputusan semak had garis kemiskinan

Menurut bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas tahun 2019 menunjukkan bahawa Etnik Bumiputera dan Etnik India mencatatkan insiden kemiskinan mutlak 7.2 peratus dan 4.8 peratus masing-masing; yang jauh lebih tinggi daripada Etnik Cina dengan insiden kemiskinan 1.4 peratus.

Katanya, walaupun semua lapisan dalam masyarakat akan terjejas, impak paling jelas ialah kepada golongan yang ‘professionally, educationally, socially and financially insecure’; khususnya golongan pekerja dan penerima upah.

“Satu-satunya kumpulan kelas menengah yang boleh bertahan ialah penjawat awam,” katanya.

Mohamad turut menyatakan sokongan terhadap tindakan Jabatan Perangkaan Malaysia yang telah menyemak semula Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208; dari kadar RM980 yang telah diguna pakai sejak tahun 2005.

Katanya, tindakan menyemak semula kadar kemiskinan adalah langkah penting untuk menggambarkan realiti tahap kemiskinan sebenar di Malaysia.

Beliau berkata, pengenalan PGK baharu ini menjadikan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,441 berbanding hanya 16,653 jika menggunakan had PGK 2005. Justeru, kadar kemiskinan Malaysia ialah 5.6 peratus pada tahun 2019.

Namun, katanya, tinjauan Pendapatan Isi Rumah yang digunakan sewajarnya juga mengambil kira realiti kebanyakan komuniti yang berisiko dihimpit kemiskinan seperti golongan masyarakat asal, pekerja asing dan orang pelarian sebagai sebahagian dari asas kiraan kemiskinan.

Jika golongan tersebut diambilkira, maka kadar kemiskinan adalah lebih tinggi dari kadar 5.6 peratus.

Yang lebih meruncingkan, katanya, kadar tersebut pasti telah dan akan meningkat dengan drastik dampak pandemik Covid-19 kerana kehilangan ratusan ribu pekerjaan dan ekonomi yang meleset.

Malah, Bank Dunia telah menganggarkan secara konservatif bahawa 11 juta penduduk di Asia Timur akan terheret ke kancah kemiskinan akibat keruntuhan ekonomi.

“Strategi pemulihan dan pembinaan ketahanan ekonomi Malaysia mestilah bersifat inklusif dan menterjemahkan kesejahteraan dengan erti kata yang sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette