Haniza Mohd Talha

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamad Talha berkongsi peristiwa berhubung situasi yang berlaku terhadap dirinya ketika ini.

Beliau yang baru sahaja dipecat daripada jawatannya dalam kerajaan Selangor susulan pemecatan keanggotaannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memaklumkan kepada seseorang keadaan pejabatnya yang kini berkunci.

“Pejabat kena mangga,” demikian kata Haniza menerusi aplikasi Whatsapp yang ditularkan.

Bagaimanapun difahamkan, Haniza tidak menolak kemungkinan perkhidmatannya sebagai Exco Selangor dibuat ekoran Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mendapat tekanan daripada PKR.

Beliau juga ada menerima tekanan daripada parti itu untuk melepaskan jawatan exco negeri selepas dipecat PKR pada 28 Jun lalu, lapor sebuah laman portal.

Sementara itu, Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menyifatkan PKR semakin tidak relevan ekoran tindakan zalim yang dilakukan oleh pemimpin sendiri.

Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi pemecatan yang dibuat terhadap Haniza.

Malah, tindakan Haniza menubuhkan pertubuhan Nation Of Women (NOW) merupakan langkah yang baik untuk beliau meneruskan perjuangannya dalam membela nasib wanita.

Perkara itu juga dianggap Azmin sebagai sesuatu yang lebih baik daripada beliau kekal dalam kerajaan atau parti sehingga dianggap ‘pengemis’ kepada pemimpin yang zalim. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pejabat Haniza Talha dikunci