Exco Selangor yang dilucutkan jawatan, Haniza Mohamed Talha mendedahkan pejabatnya di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dikunci hari ini.

KUALA LUMPUR – Exco Selangor yang dilucutkan jawatan, Haniza Mohamed Talha mendedahkan pejabatnya di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dikunci hari ini.

Ia selepas pengumuman yang dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang berkata, kerajaan negeri membuat keputusan melucutkan jawatan yang disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu, semalam.

Arahan untuk mengunci pintu pejabat itu dipercayai diberi oleh Amirudin.

“Pejabat exco dia di SUK kena mangga atas arahan MB,” kata bekas Ketua penerangan sayap Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah.

Syarul Ema Rena atau Ratu Naga itu turut berkata, pihak MB tidak langsung memberikan masa untuk Haniza mengemas barang-barang kepunyaan di pejabat tersebut.

“Tak bagi masa dan peluang nak ambil barang-barang beliau. Kesian,” katanya lagi.

Keputusan untuk melucutkan jawatan Haniza dibuat selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan pada Rabu lalu, kata Amirudin.

Terdahulu pada 29 Jun lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Haniza.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Ahmad Kassim menjelaskan, empat yang lain ialah Timbalan Ketua Cabang Permatang Pauh Dr Afif Bahardin; ADUN Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim; Ketua Wanita PKR Sabah Rahimah Majid; dan Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nur Zarina Zakaria. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Haniza bukan lagi Exco Selangor