Kerajaan memutuskan setiap Jumaat sebagai Hari Jawi.

Hari Jumaat akan dijadikan Hari Tulisan Jawi? Mungkin ada yang bangga dengan berita ini. Mungkin ada yang rasa kagum dan gembira. Tapi ikhlas saya katakan saya rasa sayu dan kecewa dengan berita ini. Tiba-tiba sahaja perasaan itu datang tanpa dijangka.

Apa sebabnya?

Tulisan Jawi adalah tulisan rasmi negara ini. Inilah tulisan asal bagi bahasa Melayu. Inilah tulisan yang digunakan dalam semua surat dan dokumen perjanjian rasmi negara ini sejarah zaman awal kerajaan Melayu lagi. Inilah juga tulisan yang telah digunakan dalam dokumen pengisytiharan kemerdekaan negara ini. Ya, tulisan Jawi.

Tinggi sebenarnya nilai dan kedudukan tulisan Jawi di negara ini.

Kerana kesilapan pemimpin Melayu pada tahun 1966 yang memansuhkan tulisan Jawi di dalam sistem pendidikan negara, hari ini tulisan ini menjadi ibarat ‘melukut di tepi gantang”.’Ada tidak bertambah, tiada pun tidak berkurang’. Hina sungguh tulisan Jawi diperlakukan oleh pemimpin Melayu yang lupa asal usul mereka pada ketika itu.

Hari ini tulisan Jawi sekadar mahu dikempenkan sebagai ‘Hari Tulisan Jawi’. Percayalah, tak akan ke mana sebenarnya. Tak cukup sekadar berkempen sahaja. Lihat sahajalah kempen Bulan Bahasa Kebangsaan setiap bulan Oktober. Apa hasilnya? Bertambahkah kepentingan bahasa Melayu di kalangan rakyat? Jawapnya tidak juga walaupun sudah berpuluh tahun menganjurkan kempen Bulan Bahasa Kebangsaan.

Samalah nanti nasibnya pada kempen ‘Hari Tulisan Jawi’ ini. Akhirnya tetap akan sunyi begitu sahaja. Buang masa sahaja. Menjayakan penggunaan bahasa kebangsaan atau tulisan Jawi tidak cukup sekadar berkempen sahaja. Perlu lebih daripada itu.

Kalau kerajaan betul-betul nak martabatkan tulisan Jawi, langkah pertama ialah wajibkan kurikulum tulisan Jawi di semua sekolah rendah. Jadikan tulisan Jawi sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Bahasa Melayu. Berani? Pastikan anak-anak kita kenal tulisan Jawi. Biar mereka kuasai dan boleh menulis dan membaca dalam tulisan Jawi. Mampu?

Kedua, kerajaan mula gunakan tulisan Jawi dalam semua urusan kerajaan. Sebagai permulaan, kerajaan boleh mulakan dengan tulisan Jawi dan salinan dalam tulisan Rumi. Sanggup?

Anuar Ahmad

Ketiga, kena ada galakan dan beri insentif kepada penerbitan buku, majalah, suratkhabar dan buku teks dalam tulisan Jawi. Galakan penerbitan dalam tulisan Jawi sama ada dalam bentuk teks cetakan atau digital. Berani?

Saya yakin kerajaan kita tak mampu dan tak berani lakukan. Sebab itu sekadar nak lancarkan kempen Hari Tulisan Jawi sahaja dengan alasan nak dedahkan rakyat pada tulisan Jawi. Elok lupakan sahajalah. Tidak ke mana pun akhirnya. Elok tumpu sahaja pada hal lain yang lebih produktif. Nanti kempen ini akan jadi program syok sendiri di kalangan kakitangan agensi berkaitan sahaja.

Penting ke tulisan Jawi pada rakyat?

Jawapannya memang penting. Sebab itu kena serius menjayakan tulisan Jawi pada rakyat. Tulisan Jawi sudah 1000 tahun dalam masyarakat Melayu negara ini. Tulisan Rumi baru 150 tahun di negara ini. Itu pun 100 tahun pertama hanya digunakan oleh penjajah Inggeris dan golongan atasan Melayu sahaja. Rakyat biasa masih menggunakan tulisan Jawi.

Malah semua karya dan rekod sejarah masyarakat negara ini sejak awal adalah dalam tulisan Jawi. Gedung ilmu masyarakat negara ini asalnya semua dalam tulisan jawi. Tapi kerana tidak menguasai tulisan Jawi, kita jadi buta sejarah dan tradisi keilmuan bangsa sendiri. Berpuluh ribu dokumen sejarah negara ini dalam tulisan Jawi ada di perpustakaan, muzium dan arkib di serata dunia. Tersimpan tanpa dibaca. Apa lagi untuk dikaji. Kita akhirnya menjadi peminjam tegar budaya orang lain. Kita sebenarnya sudah hilang jati diri. Nak kembalikan jati diri, mulakan dengan kembalikan tulisan Jawi…

—  ANUAR Ahmad pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia

2 Komen

  1. Semua pemimpin melayu harus menggembeling tenaga dan usaha untuk memertabatkan tulisan jawi. Tebuslah ‘dosa’ anda kerana ‘melenyapkan’ tulisan jawi dahulu.
    Cukup cukuplah berpolitik

  2. Tolong lihat sikit karya2 jawi atau falsafah awak annuar ahmad. Awak nak suruh pemuda pemudi yang dah dekat satu generasi bermain tik tok dan apa entah bagai tiba2 menghayati al fansuri susah lah, walau pun tak mustahil. Bersyukurlah.

Comments are closed.