Presiden Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT) Mustaffa Kamil Ayub bersama NGO lain melaungkan slogan reformasi selepas selesai majlis sidang media Gabungan NGO Reformis menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 9 di Restoran Pak Amjal, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 11 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR- Gerakan Reformis Malaysia (GRM) menepis dakwaan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Kesembilan goyah.

Ia tetap konsisten walaupun perkembangan terbaharu Tun Mahathir Mohamad dan Warisan mengisytiharkan diri mereka sebagai blok bebas.

Penyelaras GRM, Mustaffa Kamil Ayub berkata, soal itu tidak wujud kerana kenyataan mesyuarat presiden Pakatan Harapan sudah membuat ketetapan memilih Anwar.

“Kenyataan PH (Pakatan Harapan) sudah tuntas dan jelas bahawa calon PM kesembilan adalah Anwar dengan dihadiri pucuk pimpinan keadilan, DAP dan Amanah.

“Jadi tidak timbul soal perpecahan dalam PH kecuali Bersatu yang tidak lagi bersama PH. Bagaimanapun walaupun Amanah menyatakan sokongan kepada sesiapa sahaja bersama,” katanya dalam sidang media solidariti kepada Anwar sebagai PM ke-9 di sini hari ini.

Ditanya mengenai tindakan segelintir pemimpin yang menghkhianati perjuangan mereka, Mutaffa Kamil berkata, itu hal politik peribadi pemimpin tertentu.

Menurutnya, ketika ini walaupun perjuangan reformasi berbeza pihaknya cuba berhempas pulas menunjukkan hala tuju baharu kepada pemuda zaman sekarang untuk bersama Anwar dan prinsip keadilan yang diperjuangkan.

“Apa yang berlaku (PH tumbang) adalah kisah lalu, kita kini mara ke hadapan dengan semangat reformasi yang baharu dan mengajak sebarang NGO dan parti politik atau sesiapa sahaja yang ingin bersama kami dalam kerangka reformasi ini untuk menggerakkan perjuangan rakyat bersama Anwar.

“Kita tidak terpesong daripada landasan asal reformasi yang diungkapkan pada 1998 di Permatang Pauh yang mana kami hari ini secara konsisten bergabung dan berdiri teguh dengan perjuangan itu.

“Reformasi itu tidak mati atau terkubur seperti yang disangkakan ramai pihak, cuma kami bergerak dengan kaedah baharu menggunakan era digital bersama anak-anak muda yang lebih celik dan berpengatahuan luas,” katanya.

Beliau turut mengakui, sepanjang perjalanan reformasi selama lebih 20 tahun lalu, ada yang medokong secara konsisten dan ada yang memilih perjalanan tersendiri selain ada juga meninggalkan platform politik.

Ujar beliau situasi itu tidak dapat dielakkan namun kini GRM menerusi gabungan 10 NGO hari ini akan menggerakkan reformasi berwajah baharu yang lebih agresif menerusi roadshow yang terkawal tetapi meluas ke seluruh negara.

Justeru katanya, berlaku juga pengkhianatan pemimpin-pemimpin sepanjang perjuangan reformasi yang dilalui lebih dua dekad lalu namun kesemuanya memberi pengajaran kepada pemimpinnya terutamanya Anwar untuk mengelak berlaku kesilapan sekali lagi.

“Ia menunjukkan kematangan politik apabila kami sebenarnya menapis pejuang tulen yang terus kekal dengan perjuangan reformasi kita sehingga hari ini tanpa cair dengan godaan politik kotor sedia ada.

“Di sebalik pergelutan politik yang berlaku dengan pelbagai kesilapan memang ada pengajaran untuk dipelajari. Anwar sebenarnya faham masalahnya, cuma kadang-kadang sikap praktikal dia tidak dapat elakkan dalam pergelutan demokrasi.

“Pada satu masa dianiaya dan dikhianati, kini ia tidak boleh dibiarkan berulang menerusi satu lagi kesilapan oleh Anwar dan untuk itu kami reformis akan sentiasa berkomu nikasi denhgan pemimpin tertinggi kami memastikan beliau sentiasa berdiri teguh dan tidak membenarkan kesilapan lampau berulang lagi padanya,” tegas beliau.-MalaysiaGazette