Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sehingga kini sejumlah 266 kertas siasatan berhubung berita palsu mengenai Covid-19 telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu 172 kes masih dalam siasatan manakala 30 lagi telah didakwa di mahkamah.

Sebanyak 12 kes telah diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 telah mengaku bersalah.

Pada masa yang sama, sebanyak 351 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

“Pihak PDRM dan SKMM akan terus membuat pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu. Kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap penyebaran berita palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 1,000 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan klia2 semalam.

Kesemua adalah dari Iran, Indonesia, Singapura, UAE, Taiwan, Qatar, Myanmar, Australia, Belanda, India, Korea Selatan dan Jepun.

Daripada jumlah itu, 998 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala dua individu dibawa ke hospital.

PDRM juga katanya telah membuat 1,230 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.

Dalam pada itu, PDRM telah menahan 29 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

Daripada jumlah itu, seramai 8 individu telah direman manakala 21 individu dikenakan kompaun.

Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (3 individu), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (13 individu) serta aktiviti yang melanggar SOP (13 individu).- MalaysiaGazette