Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan terdapat sebuah kluster baharu telah dikesan di sebuah syarikat kejuruteraan di Kuching, Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat jam 12 tengahari tadi, sebanyak dua kes positif Covid-19 telah dilaporkan dalam kluster tersebut.

Punca kluster masih disiasat, tambahnya.

“Kes pertama kluster ini (kes ke-8694), adalah seorang pekerja di syarikat tersebut yang telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan pada 9 Julai 2020 apabila beliau mengalami gejala pernafasan.

“Beliau didapati positif COVID-19 pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini, seramai 32 kontak rapat yang terdiri daripada 16 rakan sekerja dan 15 ahli keluarga beliau telah dikesan dan disaring.

Daripada jumlah tersebut satu kes telah dikesan positif Covid-19, 16 adalah negatif manakala 15 masih menunggu keputusan.

Langkah pencegahan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di premis syarikat tersebut.

Dalam kenyataan yang sama, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak lapan kes positif baharu telah dilaporkan di Kluster Depot Tahanan Imigresen, Sepang menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah 72 kes daripada 1,477 jumlah saringan.

“Lapan kes ini telah dikesan daripada saringan 115 Orang Kena Tahan (OKT).

“Ini merupakan saringan ulangan iaitu saringan kontak rapat ke atas 115 OKT yang ditempatkan di Blok C pada 10 Julai 2020,” ujarnya.

Tambah Noor Hisham, kesemua positif kluster tersebut melibatkan warganegara asing.

Kesemuanya telah diasingkan dan tidak membawa risiko penularan kepada masyarakat. – MalaysiaGazette