Taufiq Yap (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Noraini Ahmad yang hadir pada program Outreach Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Bersama Warga UMS di Bangunan Canselori UMS.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Noraini Ahmad memuji kejayaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang telah berjaya meletakkan institusi itu di antara universiti komprehensif yang terbaik di negara ini.

Ini dibuktikan menerusi peningkatan ketara kebolehpasaran graduan (GE) UMS bagi
tahun 2019 yang mencatatkan kadar GE sebanyak 90.4%, iaitu peningkatan sebanyak
30.4% berbanding pencapaian pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ketara ini menunjukkan usaha dan komitmen tinggi daripada seluruh warga
UMS dalam menghasilkan graduan yang berkualiti dan memenuhi keperluan pasaran
pekerjaan.

“Dari segi ranking, UMS berada pada kedudukan 211 dalam Asian University Rankings dan
kedudukan ke 801-1000 dalam 2021 QS World University Rankings.

“Manakala bagi QS World University Rankings by Subject, UMS berada di kedudukan 301-350 bagi bidang Pertanian dan Perhutanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada program Outreach Menteri Pengajian Tinggi
Malaysia Bersama Warga UMS di Bangunan Canselori UMS.

Noraini turut mengucapkan tahniah kepada UMS di atas pencapaian berada dalam
lingkungan 7.4% kampus universiti paling lestari di dunia berdasarkan UI-Green Matrix
World University Rankings 2019.

Beliau juga memuji penglibatan penyelidik UMS dalam projek pemprosesan tomato yang
akan membantu untuk menyelamatkan komuniti petani tomato di Kundasang daripada
mengalami kerugian.

“Projek usaha sama dengan komuniti seperti ini amat bermakna bagi menggambarkan
peranan besar universiti dalam mencerahkan masyarakat, memberikan penyelesaian,
pendidikan, kemahiran dan yang paling penting mengeluarkan masyarakat dari
permasalahan sedia ada,” kata Noraini.

Naib Canselor UMS, Prof. ChM. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, UMS dan
warganya bertekad untuk memastikan kejayaan yang telah dicapai akan terus
dipertingkatkan pada masa akan datang dalam usaha meningkatkan reputasi dan membantu hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi.

“UMS kini dalam proses merangka pelan strategik dan tindakan untuk meningkatkan lagi
ranking UMS dalam beberapa tahun akan datang.

“Ini termasuk menetapkan sasaran untuk dicapai oleh warga UMS sebagaimana dirangka di dalam Pelan Strategik UMS 2018-2022,” katanya.

Menurut Taufiq, bagi mencapai hasrat melahirkan graduan yang holistik,
berkualiti dan berketerampilan, UMS akan terus memperkasakan kurikulum agar sesuai
dengan peredaran semasa sebagaimana dikehendaki oleh pemegang taruh, baik dari
kalangan industri, masyarakat, ibubapa dan negara.

“UMS juga akan terus menambah baik program pengajiannya yang sedia ada dan
menawarkan program pengajian baharu yang relevan kepada kehendak pemegang taruh.

“Usaha ini termasuklah cadangan menubuhkan semula Fakulti Perhutanan bagi
menggalakkan penyelidikan dan memenuhi keperluan Negeri Sabah khasnya yang kaya
dengan sumber perhutanan.

“Juga penubuhan fakulti baharu iaitu Fakulti Pendarasan Islam bagi menggiatkan
penyelidikan dari aspek kefahaman dan toleransi agama yang amat penting bagi masyarakat Malaysia dan Negeri Sabah yang terdiri dari masyarakat berbilang agama dan etnik,” ujarnya. – MalaysiaGazette