Suasana Jabal Rahmah yang menjadi tumpuan jemaah haji seluruh dunia ketika berwukuf di Arafah. foto RADZUAN HASSAN, 10 OGOS 2019

RIYADH – Denda sehingga SR10,000 (RM11,400) akan dikenakan kepada sesiapa yang memasuki Mina, Muzdalifah dan Arafat tanpa permit haji.

Jumlah penalti itu akan digandakan jika berlaku pengulangan pelanggaran peraturan yang ditetapkan, menurut sumber.

Menurutnya, ini adalah sebahagian daripada tindakan hukuman terhadap pelanggaran protokol pencegahan untuk membendung penyebaran wabak koronavirus semasa musim haji yang dijadualkan pada akhir bulan Julai dan awal Ogos ini.

Kad pintar, yang terdiri daripada semua butiran mengenai operasi dan pengurusan perjalanan haji, akan dikeluarkan untuk setiap jemaah.

Setiap jemaah akan dibekalkan dengan beg yang berisi sejadah, cecair pembasmi kuman, pelitup muka dan keperluan lain.

Mereka juga akan dibekalkan dengan air zamzam di setiap kawasan.

Menurut peraturan yang ditetapkan, jemaah akan melalui proses nyahkuman di mataf (daerah tawaf di sekitar Kaabah Suci) dan masa (kawasan untuk saie antara Safa dan Marwah) dengan jarak dua meter antara jemaah.

Akan ada tempat tinggal berasingan untuk setiap jemaah di ruang tidak kurang dari sembilan meter di Mina, Muzdalifah dan Arafat.

Menara kediaman Mina juga telah disediakan untuk penginapan para jemaah.

Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan proses menyusun permohonan yang dikemukakan secara elektronik oleh jemaah domestik yang tergolong dalam 160 kewarganegaraan untuk menunaikan haji tahun ini telah selesai.

Proses pemilihan dilakukan mengikut standard kesihatan dan organisasi yang tepat dengan mekanisme yang sangat mudah untuk memastikan keselamatan para jemaah.

Kementerian itu sebelum ini telah menetapkan tempoh lima hari untuk pendaftaran ekspatriat yang ingin menunaikan haji tahun ini melalui laman webnya dengan tarikh akhir pendaftaran ditetapkan pada 10 Julai.

Keadaan kesihatan yang baik adalah penentu utama untuk membolehkan pemohon menunaikan haji tahun ini.

Hanya mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun yang tidak menderita penyakit kronik yang boleh melaksanakan ibadah tersebut.

Arab Saudi telah memutuskan hanya 10,000 orang jemaah yang boleh menunaikan haji pada tahun ini berikutan pandemik koronavirus, berbanding 2.5 juta jemaah tempatan dan asing pada tahun lalu.

Daripada 10,000 jemaah itu, 70% adalah warga asing yang berada di negara ini dan bakinya rakyat tempatan. – MalaysiaGazette