Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Kolaborasi dengan negara-negara asing bersama agensi-agensi pertubuhan antarabangsa merupakan antara komitmen kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, langkah itu dilakukan oleh kerajaan melalui pendekatan menyeluruh yang mana setiap kementerian mempunyai peranan masing-masing.

“Bermula daripada pengesahan kes pertama wabak Covid-19 di Malaysia pada 25 Januari 2020, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah memperkukuhkan hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa secara dua hala, serantau dan pelbagai hala dalam sektor perkhidmatan kesihatan bertujuan mengekang dan mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“KKM juga telah mengambil langkah agresif untuk berkolaborasi dengan badan-badan pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), United Nations International Children’s Fund (UNICEF) dan Development 8 (D-8) dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mahu KKM menyatakan penglibatan Malaysia dalam usaha sama sektor perkhidmatan kesihatan yang dibangunkan dengan negara-negara lain ketika ini bagi mengekang wabak Covid-19 di Dewan Rakyat hari ini.

Adham menjelaskan, antara bentuk kerjasama yang telah dilakukan oleh Malaysia pada pelbagai peringkat adalah mengadakan sesi perkongsian maklumat secara berterusan berkenaan status terkini Covid-19 di antara Malaysia dan WHO.

Ia dilakukan bagi memastikan penyampaian maklumat berkenaan warga asing yang disahkan dijangkiti wabak itu disampaikan secara berkesan, katanya.

Beliau berkata, KKM bersama semua focal point International Health Regulation (IHR) 2005 negara-negara ahli WHO telah mengukuhkan platform komunikasi secara berterusan bagi memastikan maklumat warga asing yang dijangkiti wabak itu dan sedang dirawat di maklumkan kepada negara ahli masing-masing dengan kadar segera.

“Kerjasama KKM dalam menangani Covid-19 diperkukuhkan lagi melalui komitmen Malaysia menyertai Solidarity Trial di peringkat WHO.

“Kerjasama Malaysia dalam menangani Covid-19 di peringkat antarabangsa diteruskan secara serantau melalui platform ASEAN di mana Malaysia telah dijemput untuk terlibat secara aktif di dalam pelbagai topik perbincangan, perkongsian kepakaran dan maklumat berkenaan langkah-langkah mengawal penularan Covid-19,” ujarnya.

Di peringkat bilateral pula kata Adham, KKM terus memperkukuhkan platform kerjasama dua hala sedia ada bersama negara-negara lain semasa penularan wabak Covid-19, antaranya ialah Jawatankuasa Kerja Mengenai Covid-19 di antara Malaysia-Singapura.

Turut diadakan juga ujarnya, lawatan pasukan pakar perubatan Republik Rakyat China ke Malaysia pada 18 April hingga 3 Mei lalu, juga merupakan salah satu lagi contoh kerjasama dua hala antara Malaysia dan negara lain.

“KKM akan terus memberikan komitmen dalam memastikan Malaysia mendapat manfaat kerjasama antarabangsa melalui pelbagai platform termasuk mesyuarat dua hala di antara KKM dengan kedutaan di negara ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette