Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – COVID-19 telah memberi tamparan hebat kepada pelbagai sektor denganĀ  purata 10,000 orang kehilangan kerja setiap bulan dalam tempoh Januari hingga Jun.

Sektor pembuatan dan pelancongan dilaporkan menerima tempias paling keras dalam tempoh yang mencabar itu.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kebanyakan orang yang kehilangan kerja adalah orang tempatan dengan hanya 10 peratus dianggarkan merupakan warga asing.

“Kami bimbang jumlah orang yang hilang kerja akan terus bertambah selepas ini,” katanya kepada China Press.

Selain sektor pembuatan dan pelancongan yang menerima impak terbesar, sektor perkhidmatan dan peruncitan turut menerima kesan yang signifikan.

“Prestasi peruncit di pusat beli-belah adalah tidak memberangsangkan,” kata Shamsuddin.

Beliau bagaimanapun berkata, pada ketika kebanyakan sektor merudum, bidang berkaitan dengan alat perlindungan peribadi dan farmaseutikal telah menunjukkan prestasi yang baik.

Dalam pada itu, walaupun banyak sektor mengurangkan pekerja, sektor perladangan pula berdepan isu sebaliknya apabila pembekuan pengambilan pekerja asing dan kegagalan menarik pekerja tempatan menyebabkan 62,000 jawatan kosong gagal diisi.

Shamsuddin berkata, keadaan kekurangan pekerja menyebabkan kerugian antara RM12 juta hingga RM13 juta dalam tempoh setengah tahun.

“Disebabkan stereotaip, orang tempatan memang kurang berminat dalam sektor ini.

“Hakikatnya, pekerja perladangan boleh mempunyai pendapatan bulanan RM3,000 selain elaun tambahan pada musim menuai,” katanya.

Shamsuddin berpendapat, pemulihan ekonomi pada tahun ini adalah tidak mudah, malahan ia merupakan proses yang perlahan dan menyakitkan.

Walau bagaimanapun, beliau optimis bahawa keadaan akan bertambah baik menjelang pertengahan tahun depan.

Shamsuddin bagaimanapun mengingatkan bahawa terdapat perusahaan yang mungkin tidak boleh bertahan apabila pelbagai bantuan kerajaan tamat pada September.

Beliau justeru berharap bantuan berkenaan dapat diteruskan untuk membantu pengusaha. – MalaysiaGazette