KUALA LUMPUR – Sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada November ini.

Memandangkan dunia masih berdepan dengan pandemik Covid-19, Malaysia sedang menimbang kaedah terbaik untuk memastikan penganjuran APEC dapat dilaksanakan dengan berkesan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Malaysia bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebagai Pengerusi APEC pada tahun ini,” katanya katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Darell Leiking (Warisan-Penampang) semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

Azmin berkata, Malaysia sudah mengambil tindakan proaktif dengan meneruskan program kerja APEC mengguna format persidangan secara maya di peringkat kumpulan kerja dan pegawai kanan.

Bagaimanapun, katanya, kementerian itu perlu menimbang beberapa perkara untuk melaksanakan Sidang APEC secara maya kerana anggota-anggota APEC membabitkan pelbagai negara dan mempunyai zon masa yang berbeza.

Malah, pihaknya juga menimbang untuk membenarkan anggota-anggota yang dari zon hijau Covid-19 untuk datang ke negara ini.

Azmin berkata, beliau percaya dengan sokongan padu anggota ekonomi APEC, agenda APEC 2020 berlandaskan konsep ‘Kemakmuran Bersama’ selari dengan tema ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran’ bagi mewujudkan kerjasama yang seimbang dan adil dalam kalangan ekonomi APEC dapat diterus seperti yang dirancangkan.

Tambahnya, sidang itu nanti akan memberi penekanan kepada menambah baik naratif perdagangan dan pelaburan, penyertaan ekonomi yang inklusif dan memacu kelestarian inovasi. – MalaysiaGazette