Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berbahas pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama dengan blok pembangkang yang lain menentang pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff.

Ujar beliau, usul yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tonggak pentadbiran negara dan juga tidak terkandung dalam senarai Peraturan Mesyuarat.

Mempertahankan hujahnya, Dr Mahathir berkata, usul tersebut tidak wajar kerana kekosongan hanya berlaku jika berlaku sebarang kematian yang memerlukan Speaker sedia ada diganti dengan yang baharu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Langkawi menyifatkan apa yang berlaku bukanlah normal baharu tetapi sesuatu yang bukan normal.

“Kita sedang bincang sesuatu yang bukan normal.

“Ini normal baru yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri untuk tukar Speaker tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya yang menerima gangguan daripada beberapa wakil rakyat termasuk Tan Sri Shahidan Kassim, dan Datuk Noh Omar.

Mereka antara lain berkali-kali membangkitkan persoalan mengapa Dr Mahathir meletakkan jawatan sehingga membawa kepada krisis yang berlaku sekarang ini.

Turut bertanya kepada Dr Mahathir adalah Ahli Parlimen Barisan Nasional Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan dijawab oleh beliau: “Saya pun ada calon lain untuk PM. Kita tidak ada sebab untuk tukar Speaker.”

Bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata seseorang yang mengepalai Dewan Rakyat harus tidak menyebelahi mana-mana pihak dan perlu bersifat neutral.

“Speaker mestilah tidak memihak kepada mana-mana pihak. Itu adalah orang kerajaan,” katanya lagi.

Sebelum ini usul yang dibawa Ahli Parlimen Pagoh tegang apabila pihak pembangkang mempersoalkan tujuan sebenarnya untuk menggantikan Mohamad Ariff.

Terdahulu Muhyiddin mengemukakan usul untuk menggugurkan Mohamad Ariff.

Ia disokong Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Bagaimana pula Mahathir dulu membawa masuk Latifah Koya dalam SPRM. Latifah adalah ahli PKR dan merupakan seorang ahli politik. Pengalaman pula tidak ada sama sekali. Yang hanya penuh di hari pertama bertugas adalah lencana sahaja. Hasil kerjanya rakyat sudah lihat, Latifah berat sebelah. Dia hanya fokus pada kesalahan UMNO dan PAS sahaja. Dia tutup mata terhadapa salahlaku DAP dan PH. Perbuatan Mahathir hari ini di parlimen adalah sejajar dengan peribahasa Inggeris yang berbunyi, “The Kettle is calling the Pot Black”. Maksudnya, diri seseorang itu tidak sempurna, namun mengata pada orang tidak sempurna”

  2. sesuai lah kerajaan pn jadi kerajaan. pun main tebuk atap. segala tadbir urua pun diluar perlembagaan lah . itulah normal baru kerajaan baru.

Comments are closed.