Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan (kiri) diiringi Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Pelancaran Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 yang menawarkan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM1 juta.

Lebih menarik, pendeposit kini berpeluang memenangi hadiah utama cabutan tahunan yang berupa kereta Mercedes Benz C200 FL AMG Line.

Turut ditawarkan wang tunai RM50,000 bagi hadiah tempat kedua dan RM30,000 bagi tempat ketiga.

Bagi hadiah cabutan bulanan, wang tunai melebihi RM40,000 disediakan untuk 20 pemenang pada setiap bulan.

Menerusi Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 itu, seramai 1,123 pendeposit akan berpeluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan.

Tempoh promosi cabutan itu akan berlangsung mulai 1 Julai lalu hingga 31 Disember ini bagi cabutan bulanan dan cabutan tahunan pula bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember ini.

Majlis Pelancaran Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 disempurnakan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan di Menara PTPTN di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahboob dan Yang Berbahagia Dato’ Dr. Fathul Bari Mat Jahya, Lembaga Pengurusan PTPTN.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, kerajaan telah menyediakan tabungan pendidikan untuk masyarakat di negara ini bagi memastikan masa depan anak-anak lebih terjamín.

“Menyingkap sejarah lima tahun yang lalu pada tahun 2015, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini Perdana Menteri telah melancarkan produk kedua simpanan pendidikan PTPTN iaitu SSPN-i Plus.

“Pada itu, beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia. Usaha beliau untuk memastikan perancangan kewangan masyarakat Malaysia terutama ibu bapa untuk masa depan anak-anak sewajarnya dipuji kerana SSPN-i Plus merupakan pelan simpanan terbaik.

“Apabila anak berusia 18 tahun, sampai masa anak masuk IPT, simpanan yang dibuat boleh digunakan untuk tujuan pendidikan mereka. Oleh yang demikian secara tidak langsung, anak-anak tidak perlu meminjam untuk pengajian atau hanya meminjam dalam jumlah yang sedikit dan betul-betul diperlukan sahaja,” katanya.

Sementara itu, pembukaan dan penambahan akaun SSPN-i Plus boleh dibuat secara tanpa tunai dengan mudah, cepat dan selamat di www.lovesspn.com.

Orang ramai juga boleh menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN atau Pejabat PTPTN Negeri berdekatan di negeri masing-masing untuk membuka akaun, membuat tambahan simpanan mahupun mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut.- MalaysiaGazette