Allahyarham Nazrin Hassan

SHAH ALAM – Pembelaan dalam perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mempersoalkan kesahihan hasil analisis makmal bomba yang menjumpai kesan petrol pada sampel dari tempat kejadian.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ini kerana analisis Jabatan Kimia terhadap sampel yang diambil di lokasi kejadian tidak menjumpai kesan petrol atau cecair mudah terbakar.

“Hasil analisis yang dijalankan oleh Jabatan Kimia mendapati tiada kehadiran petrol di dalam bilik berkenaan. Polis telah mengambil sampel dengan cara mengikis lantai dan beberapa tempat lain.

“Hasil analisis ini berlawanan dengan apa yang ditemukan oleh makmal JBPM yang tidak mempunyai pensijilan,” katanya ketika menyoal balas Pengarah Jabatan Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Edwin Galan Teruki.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-20 itu tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa hasil analisis makmal penyiasatan kebakaran bomba berkaitan penemuan kesan petrol adalah salah kerana analisis Jabatan Kimia menunjukkan keputusan berbeza.

Galan berkata, kesan petrol tidak semestinya dapat ditemukan pada sampel yang diambil secara kikisan kerana jumlah bahan bakar digunakan dalam kejadian itu adalah sedikit.

Disebabkan itu katanya, hasil analisis terhadap sampel yang diambil dari lokasi kejadian oleh Jabatan Kimia tidak menjumpai sebarang kesan petrol atau cecair mudah terbakar.

Dalam prosiding perbicaraan pada 2 Disember lepas, saksi pendakwaan ke-14, pegawai sains di makmal penyiasatan kebakaran JBPM Selangor, Aznor Sheda Samsudin, 39, memberitahu mahkamah bahawa sisa petrol dijumpai pada tiga sampel sisa kebakaran yang diujinya.

Samirah Muzaffar, 45, dan dua remaja lelaki, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, serta seorang wanita Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung pada 24 Julai depan. – Bernama

1 Komen

Comments are closed.