KUALA LUMPUR – Artis popular, Erra Fazira tidak berminat mengambil tahu hal rumah tangga bekas suaminya, Engku Emran dengan pelakon ternama Indonesia, Laudya Cynthia Bella yang runtuh baru-baru ini.

Menurut ibu tunggal itu, tidak manis untuk dia ‘menyibuk’ hal orang apatah lagi Engku Emran juga tidak pernah berkongsi apa-apa mengenai masalah rumah tangganya selama ini.

“Walaupun dia bekas suami dan bapa kepada anak saya, saya tak mahu korek. Cukup tahu sikit-sikit di peringkat permukaan. Saya tak pernah tanya kenapa apatah untuk mengorek lebih lanjut.

“Sebagai wanita kami ada berbicara menerusi teks, tapi hanya perkara-perkara umum sahaja, tidak begitu terperinci.

“Bella juga tidak bercerita lebih kepada saya. Memang kami rapat tapi tidaklah selalu berhubung,” kata Erra menjawab pertanyaan media mengenai laporan perpisahan Engku Emran dengan Laudya Cynthia Bella baru baru ini.

Pelakon dan penyanyi kesayangan ramai itu berkata demikian pada sidang media selepas majlis mengumumkan dirinya sebagai duta produk penjagaan rambut Faith Fleur semalam.

Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek menegaskan, dia amat percaya ada hikmah menanti Engku Emran dengan Laudya Cynthia Bella selepas ini apatah lagi anaknya, Engku Aleesya rapat dengan pelakon itu.

“Dalam setiap pahit tu ada pasti hikmah dan manisnya. Allah uji kerana sayang. Ada ganjarannya itu. Bersabar saja.

“Saya sedar anak saya pun sedih dengan berita itu. Dia pun sayang Bella. Saya percaya bapanya pun bersedih dengan apa yang berlaku,” kata wanita berusia 46 tahun itu.

Pada 1 Julai lalu, Laudya Cynthia Bella membuat pengakuan rumah tangga dia dan Engku Emran sudah berakhir secara baik.

Pengesahan Laudya Cynthia Bella itu sekali gus melenyapkan pertanyaan peminat dan media mengenai status pasangan berkenaan ekoran pelakon terkenal itu sudah kembali menetap di Jakarta.

Baik Engku Emran dan Laudya Cynthia Bella juga sudah tidak berkongsi sebarang foto mereka berdua di akaun Instagram sejak sekian lama menyebabkan pelbagai spekulasi diperkatakan. – MalaysiaGazette