Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan (kiri) diiringi Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan) pada Pelancaran Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Jumlah deposit terkumpul Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah mencecah kepada RM6.4 bilion dengan jumlah 4.5 juta akaun sejak dilancarkan pada tahun 2004 sehingga Mei lalu.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkata, deposit SSPN untuk tempoh Januari hingga Mei lalu adalah sebanyak RM564.20 juta yang meningkat RM380.18 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Jelas beliau, jumlah itu menyaksikan peningkatan sebanyak RM184.02 juta atau 48.4 peratus walaupun negara berdepan dengan pandemik virus Covid-19.

“Saya yakin antara faktor peningkatan penabungan di dalam SSPN ini adalah kerana keyakinan masyarakat terhadap SSPN dan manfaat yang diperoleh simpanan di dalam SSPN.

“Ini menjadikan skim ini sebagai pilihan terbaik walaupun kita berada dalam situasi pandemik akibat penularan Covid-19 selain kesedaran masyarakat menyediakan simpanan untuk masa depan.

“Saya melihat usaha untuk merealisasikan PTPTN sebagai tabung pendidikan masyarakat Malaysia saban tahun semakin terbukti dengan jumlah simpanan di SSPN terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 di Menara PTPTN di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful memberitahu, PTPTN menyasarkan 400,000 akaun baharu SSPN dengan jumlah deposit RM1.5 bilion sepanjang tahun ini.

Beliau berkata ini susulan kejayaan yang diraih agensi itu pada tahun lalu yang merekodkan sejarah dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM1.3 bilion. – MalaysiaGazette