Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang mahu pulang dari luar negara kini perlu menjalani ujian saringan Covid-19 selama tiga hari sebelum tarikh berlepas pulang.

Langkah itu dibuat selepas banyak syarikat penerbangan memerlukan bukti penumpang mereka adalah negatif Covid-19, kata Menteri Kanan Kluster Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

”Untuk tidak mahu berlaku kesulitan di lapangan terbang dan bagi mengelakkan mereka tidak dibenarkan menaiki pesawat mereka diminta membuat ujian saringan seperti yang ditetapkan,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

Beliau juga memaklumkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan juga memutuskan ekspatriat yang dibenarkan masuk ke Malaysia untuk bekerja atau menguruskan syarikat tidak dibenarkan ke luar dari negara ini untuk bercuti.

Ini bagi memberi keadilan kepada rakyat Malaysia yang masih tidak dibenarkan ke luar negara untuk bercuti.

“Jika mereka didapati melanggar peraturan ini, mereka tidak akan dibenarkan pulang ke Malaysia sehingga satu tarikh yang dibenarkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette