Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mahu penubuhan Siasatan Diraja (SC) terhadap isu penjualan aset Tabung Haji (TH) semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya mohon Siasatan Diraja untuk kes Tabung Haji ini.

“Wujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja agar seluruh rakyat boleh berpuas hati demi kelangsungan sebuah institusi Islam,” katanya ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Beliau berkata, ia berdasarkan surat rasmi TH bertarikh 3 Disember 2019 kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) yang ditandatangani sendiri oleh Nik Mohd Hasyudeen Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH.

Dalam kandungan surat itu, Nik Mohd Hasyudeen mendedahkan Mujahid telah meluluskan pengecualian hak penolakan pertama (First Right of Refusal) bagi 18 aset hartanah TH yang telah dipindahkan ke UJSB.

Justeru itu, Ahmad Maslan terus mengaitkan tindakan itu sebagai cubaan untuk melelong aset TH.

“Dengan bahasa mudah Menteri ketika itu telah menggunakan kuasanya yang diperuntukkan oleh bawah Akta Tabung Haji 1995 untuk melepaskan hak Tabung Haji bagi membolehkan semua atas aset Tabung Haji itu dilelong kepada pihak luar,” katanya.

Bingkas bangun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang mendesak agar Ahmad Maslan menarik balik perkataan ‘lelong’ yang ditujukan khas kepada dirinya yang pernah memegang tanggungjawab menjaga Tabung Haji.

“Saya mohon supaya perkataan dilelong itu ditarik balik sebab perkara itu tidak timbul sama sekali.

“Perkataan dilelong itu tidak tepat. Ini mengelirukan Dewan.

Ahmad Maslan meneruskan bahas beliau dengan tidak menghiraukan desakan itu.

“Setakat ini kerajaan dimaklumkan TH telah memasuki perjanjian saham untuk melupuskan tiga anak syarikat yang melibatkan tanah perladangan 9,018 hektar daripada jumlah keluasan yang ingin dijual,” katanya.

Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata: “Inilah yang jual aset TH dimana yang sebelah sana yang jual, kita selamatkan TH tapi dia kata kita lelong TH.

“Bekas menteri boleh menjawab dalam masa yang lain,” kata Ahmad Maslan.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan surat pelucutan hak terhadap pembelian semula aset TH oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipercayai ditandatangani Nik Mohd Hasyudeen dan diluluskan Mujahid. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Iru jer lah modal nya ” tarik balik, tarrik balik ” .. rakyat di bawah ni dah lama menunggu RCI kes tabung haji ni.

  2. Saya ingin mengambil kesempatan dalam ruang ini utk menzahirkn bicara betapa KECEWA DN AIBNYA peradaban perbahasan yg dipamerkan oleh sebilangan MP di Dewan Rakyat…. Memperlihatkn betapa runtuhnya dn daifnya perlakuan pemimpin2 yg dikatakan berpelajaran namun tiada NILAI NILAI MORAL…tak ubah seperti pentas didalam rimba….
    Semoga Tuan Speaker dn Timbalan yg baru dipilih ini boleh/dapat menguatkuasakan ketegasan kpd MP2 yg sangat hilang peradaban kemanusiaan nya itu..
    Kalau sudah tidak dpt menyantuni peraturan , ada lbh baik arahan ‘keluar dewan’ itu dipraktikkan dgn lbh ghairah lg kpd peraturan yg tersedia ada itu…

Comments are closed.