Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang bertujuan menjadi platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pewujudan majlis itu adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui usaha-usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.

Ia selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang mendukung tiga objektif utama iaitu pembangunan untuk semua; menangani jurang kekayaan dan pendapatan; serta membina negara bersatu, makmur dan bermaruah, ujarnya.

“Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, hari ini,” katanya dalam satu kenyataan sambil menambah Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan majlis tersebut.

Menurut Mustapa, mesyuarat pada hari ini juga bersetuju untuk memperkukuhkan peranan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dalam dua aspek utama.

Katanya, Teraju menjadi badan koordinasi di peringkat tertinggi dengan mewujudkan jalinan dan rangkaian bersepadu serta komprehensif bersama kesemua pemegang taruh merentasi pelbagai sektor bagi memantau pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Bumiputera.

Selain itu unit tersebut akan memperkemas dan menambahbaik pengkalan data berpusat Bumiputera bagi mengumpul maklumat terkini, lengkap dan berkualiti bagi perancangan dasar dan intervensi strategik Teraju. – MalaysiaGazette