Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hadir pada sidang media ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Sains Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan agar Malaysia perlu segera tampil menjadi negara pengeluar vaksin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Khairy Jamaluddin berkata, negara perlu membangunkan vaksin manusia bagi menampung kebergantungan sepenuhnya kepada beberapa negara pengeluar vaksin.

Ini kerana negara banyak bergantung kepada pengeluaran vaksin haiwan sebelum ini, katanya.

“Mosti (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi tanggungjawab untuk menyediakan pelan pembangunan dan kemandirian vaksin negara dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Vaksin yang akan dibangunkan itu kelak bukan hanya memberikan tumpuan kepada Covid-19 dan Malaysia perlu membangunkan keselamatan dan kemandirian bagi memastikan persediaan sekiranya berlaku pandemik dang jangkitan baharu,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Khairy berkata, keputusan itu dicapai selepas Mesyuarat Majlis Sains Negara kali kedua diadakan hari ini.

Selain itu kerajaan, kata Khairy, mencadangkan agar proses pembangunan pembotolan dilakukan dalam negara.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, ia akan lebih memudahkan vaksin diedarkan kepada rakyat.

Sementara itu, Khairy memberitahu, kerajaan masih meneliti beberapa vaksin yang sedang dibangunkan di negara-negara pembuat vaksin seperti China, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Bagaimanapun katanya, vaksin yang akan dipilih kelak akan ditentukan oleh KKM selepas mengenal pasti kesesuaiannya untuk digunakan rakyat negara ini.

“Vaksin itu kelak akan dibeli dalam jumlah yang besar sebelum dibotolkan di dua kilang berkenaan yang mempunyai fasiliti lengkap untuk proses berkenaan,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan juga sudah bersetuju untuk melantik dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membolehkan proses pembotolan vaksin dilakukan di negara ini. – MalaysiaGazette