Tan Sri Anifah Aman
Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus berhati-hati dan belajar daripada kegagalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS).

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, idea menggunakan dokumen IMM13 sebagai dokumen tunggal untuk pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil banci adalah langkah yang tiada bezanya dengan PSS.

“Apa perlunya mengiktiraf pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil banci ke dalam IMM13?

“Kerajaan tidak boleh ‘menghalalkan’ pemegang Sijil Banci dan Kad Burung-Burung untuk menerima IMM13, yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemegang IMM 13 dibenarkan tinggal di negeri Sabah dan Labuan mengikut tempoh yang dinyatakan dalam pas yang mana  pemegang pas ini boleh bekerja di negeri Sabah dan Labuan tanpa perlu memohon pas kerja (tetapi bukan untuk bekerja dalam sektor profesional dan perkhidmatan awam).

Mereka juga berhak untuk menerima pendidikan dan perkhidmatan kesihatan mengikut budi bicara pihak-pihak yang berkenaan.

Kad  HIF22 pada asalnya dikeluarkan kepada pelarian oleh Jabatan Imigresen bagi membantu pemantauan kumpulan pelarian.

Selain itu, kad Burung-Burung dan sijil banci masing-masing dikeluarkan kepada pendatang asing pada era kerajaan Parti Bersatu Rakyat Sabah (Berjaya) dan pasukan petugas khas persekutuan.

Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Menteri itu berkata, Malaysia adalah negara berdaulat yang tidak akan memberikan kewarganegaraan dengan mudah, termasuk anak-anak tanpa kad pengenalan

Beliau yang menjawab soalan tambahan Mohd Shafie berkata: “Yang penting kepada kita, tengok kalau kita tak boleh beri kerakyatan kita pastikan sekurang-kurangnya mereka ada identiti untuk hidup di negara kita. Pada saya, mereka adalah citizen of the world, sama ada mereka di Sabah atau di mana pun.

“Mereka masih lagi manusia, sebab itu saya nak pastikan setiap mereka mempunyai identiti, itu yang patut kita berikan, bukan kita tentukan semua yang stateless mesti diberikan kewarganegaraan,”

Menurut Anifah, sekalipun kerajaan digesa mempertimbangkannya atas faktor kemanusiaan dalam isu ‘stateless children’ kerajaan tidak boleh menggadai nasib rakyat Sabah tulen.

“Oleh sedemikian saya mohon dan menggesa pihak Kerajaan agar mempertimbangkan semula dan mendapatkan jalan penyelesaian alternatif yang tidak menggadai nasib rakyat Sabah tulen,” ujarnya.

Menurut Anifah, isu kewarganegaraan adalah isu sensitif di negeri Sabah dan pada awal Januari lalu terdapat usaha Kerajaan Negeri pimpinan Warisan PH dan UPKO untuk mewujudkan dokumen baru iaitu PSS kepada 136,055 pemegang dokumen itu, iaitu IMM13 (51,645), Kad Burung-Burung (36,892) dan Sijil banci sebanyak 47,518.

Tambah beliau, kesannya isu PSS menyebabkan parti pemerintah, Warisan, tewas pada Pilihan Raya Kecil Kimanis apabila rakyat menolak cadangan itu. – MalaysiaGazette