Kakitangan JKR menaiki pesawat Air Asia ke Kuching.

KUALA LUMPUR – Jumlah permintaan penumpang penerbangan berkurangan daripada 280,321 sehari pada bulan Januari 2020 kepada 7,500 sehari bagi bulan Mei 2020 susulan penularan Covid-19.

Berdasarkan unjuran senario trafik penumpang Malaysia 2020, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan jumlah tempat duduk perkhidmatan penerbangan penumpang akan berkurangan kepada 54.3 juta hingga 56 juta bersamaan -48.7% hingga -50.3% pada tahun 2020 (2019 – 109.2 juta penumpang).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, berdasarkan kepada cadangan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), lebih banyak kelonggaran telah diberikan oleh pihak kerajaan termasuk kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas negeri dan pengecualian penjarakan sosial dalam pesawat bagi semua perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual.

Beliau menjawab soalan Noorita Sual (DAP-Tenom) yang bertanya apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian sebagai persediaan kepada pembukaan sektor pengangkutan udara dan industri pelancongan mengikut SOP dalam fasa pemulihan Covid-19 di Malaysia agar ianya tidak dilihatmerencatkan pemulihan industri pelancongan.

Operasi penerbangan dilaksanakan tertakluk kepada prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan iaitu saringan suhu badan diwajibkan kepada pekerja, pengguna, krew penerbangan dan penumpang; pemakaian pelitup muka diwajibkan di kawasan umum lapangan terbang serta kepada semua krew dan penumpang yang memasuki pesawat penerbangan; hidangan makanan dalam pesawat adalah tidak digalakkan dan interaksi dengan penumpang diminimakan; proses nyahkuman ruang pesawat selepas setiap operasi penerbangan; dan amalan penjarakan sosial di kawasan umum lapangan terbang melalui tanda jarak 1 meter di lantai, meja dan kerusi kecuali di pintu pelepasan.

Ka Siong berkata, kementeriannya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)
dan syarikat penerbangan terus bekerjasama bagi meningkatkan kesedaran dan keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan bagi menggerakkan dan memulihkan sektor pelancongan domestik.

”Bagi maksud menggerakkan sektor pelancongan antarabangsa, Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan usaha melaksanakan konsep travel bubble ke beberapa negara seperti  Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, New Zealand, Australia, Korea Selatan dan Jepun.

Melalui konsep tersebut, penerbangan dan penumpang dari mana-mana negara yang berada dalam kategori hijau akan dibenarkan memasuki Malaysia tertakluk kepada SOP tertentu seperti ujian saringan kesihatan yang ketat sebelum berlepas dan tiba di Malaysia perlu dipatuhi.

Dalam hubungan ini, tambahnya, cadangan travel bubble tersebut adalah tertakluk kepada rundingan yang sedang diadakan di antara Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Luar Negeri dengan negara-negara terbabit. – MalaysiaGazette