Tian Chua

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan belum menerima sebarang jawapan daripada Naib Presidennya, Tian Chua yang diarah melepaskan jawatan sebagai pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Beliau berkata, surat mengenai arahan itu telah dikeluarkan sejak dua minggu lalu dan sudah dihantar kepada
bekas ahli Parlimen Batu.

“Surat itu sudah dihantar oleh saya kepada Tian Chua dan dia belum beri apa-apa jawapan kepada saya namun, tidak ada had masa diberikan, tetapi kita minta seberapa segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan sidang media di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media semasa menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 JULAI 2020.

Dalam pada itu ketika ditanya sama ada terdapat desakan daripada PKR untuk Tian Chua memberi jawapanberhubung perkara tersebut beliau menjawab, tiada.

Tian Chua dilantik sebagai pengerusi MPC oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 26 April 2019.

Saifuddin sebelum ini dilapor berkata, PKR mengarahkan Tian Chua agar meletak jawatan pengerusi di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Arahan itu dikeluarkan menerusi sepucuk surat yang ditandatangani Saifuddin pada 29 Jun lalu. – MalaysiaGazette