Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anifah Aman hari ini melahirkan rasa dukacita, terkejut dan kecewa dengan kenyataan bahawa tiada kapal milik China berada di perairan Malaysia.

Sebaliknya, bekas Menteri Luar itu membidas Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien kerana mendedahkan maklumat tidak benar, sekaligus mengugat kepentingan maritim dan strategik Malaysia.

Malah Anifah juga menuduh Hishamuddin yang merupakan Menteri Luar sedang bermain politik dalam isu tersebut.

“Saya sungguh terkejut dengan dakwaan Menteri Luar dalam isu ini, saya jangka sama ada beliau dalam keadaan ‘denial’ tidak boleh menerima hakikat keadaan sebenar atau sebenarnya tidak tahu fakta sebenar.

“Lagi teruk yang saya bayangkan, beliau sebenarnya sedang bermain politik dalam isu kepentingan maritim dan strategik Malaysia.

“Menurut sumber yang saya boleh percayai, sekitar April sahaja masih ada kapal China di perairan kita malah saya juga dapat tahu ada kapal pengawal pantai China di sekitar Beting Patinggi Ali pada Mei, Jun dan juga Julai.

“Kita sebenarnya berhak untuk menyuarakan isu ini, sebagai sebuah negara yang berdaulat ke atas perairan Laut China Selatan, hakikatnya kita tidaklah perlu risau atau teragak-agak langsung.

“Jika sebelum ini Kementerian Luar mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan kenyataan berhubung serangan dron dan peluru berpandu ke atas Arab Saudi pada 25 Jun dan 12 Julai, mengapa tidak yang ini?

“Malah rasanya tidaklah begitu keterlaluan seandainya Kementerian Luar untuk melahirkan rasa tidak senang rakyat kita terhadap kegiatan tanpa izin di perairan kita kepada Duta China,” katanya.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara yang antara lain mendedahkan kapal pengawal pantai China dan tentera laut China dikesan menceroboh perairan negara sebanyak 89 kali dari tahun 2016 hingga 2019.

Anifah yang memegang portfolio Menteri Luar dari 2009 hingga 2018 berkata, Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan China dalam kawasan perairannya di Laut China Selatan.

“Jika pendirian kita tidak betul, maka kita bukan sahaja rugi, sebaliknya kepentingan maritim serta strategik negara dalam bahaya.

“Malaysia sepatutnya memastikan proses undang-undang dan diplomasi dihormati sepenuhnya dan kedaulatan undang-undang ditegakkan sama ada undang-undang antarabangsa mahupun Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut.

“Saya tidak kata kita perlu berkonfrontasi tetapi pendirian kita kena betul dan lakukan dengan cara penuh hormat dan diplomatik.

“Banyak kali sudah saya katakan sebelum ini, janganlah kita teragak-agak dalam mempertahankan hak dan kepentingan negara kita dengan cara berprinsip bagi mengekalkan hubungan jangka panjang,” ujarnya.

Semalam, Hishamuddin berkata, pihak keselamatan negara mendapati tiada lagi kapal pengawal pantai dan tentera laut China dikesan menceroboh perairan Malaysia setakat ini.

Jelasnya, perkembangan itu adalah hasil hubungan dua hala yang ditambah baik antara kedua-dua negara sepanjang tempoh 100 hari beliau dilantik sebagai Menteri Luar. –MalaysiaGazette