Datuk Seri Najib Razak. foto HAZROL ZAINAL, 15 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menangguhkan perbicaraan pada petang ini bagi membolehkan beliau ke Parlimen untuk membahaskan titah DiRaja.

Beliau hanya membuat keputusan itu selepas mendapat surat tentang perkara tersebut daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hari ini.

“Saya dapat surat daripada speaker (Dewan Rakyat) dan telah bacanya. Saya putuskan jika anak guam anda perlu ada di sana pada pukul 3.30 petang ini, kita akan teruskan perbicaraan sehingga 3.15 petang,” katanya ringkas.

Semalam, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan untuk menangguhkan prosiding pada pukul 1.30 tengahari namun permohonan tersebut ditolak.

Perbicaraan 1Malaysia Deevelopement Berhad (1MDB) pada  hari ini dilakukan tanpa rehat makan tengah hari.

Prosiding bersambung dengan pihak pembelaan melakukan pemeriksaan balas saksi ke-9, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib ketika ini berdepan dengan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. –MalaysiaGazette