Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hadir pada sidang media ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak teragak-agak untuk menarik balik lesen operasi pengeluar nadir bumi berpangkalan di Australia, Lynas Malaysia Sdn Bhd, jika syarikat itu tidak memulakan pembangunan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) dalam tempoh setahun daripada kelulusan lesennya.

Perkara itu ditegaskan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang memberitahu, ia merupakan syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat berkenaan sebagai pemegang lesen yang diperbaharui selama tiga tahun bermula Mac lalu.

“Jika Lynas tidak dapat memulakan proses pembangunan PDF dalam tempoh satu tahun daripada keputusan untuk dilanjutkan lesen ini dibuat, iaitu pada Mac 2021, lesen itu boleh ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Bakri-PH), Yeo Bee Yin pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Bee Yin meminta kerajaan menyatakan pendirian sama ada akan menarik semula lesen operasi Lynas jika tidak mematuhi syarat mengikut Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

Sementara itu, ketika menjawab soalan asal yang dikemukakan, Ahli Parlimen (Tanjong Karang-BN), Tan Sri Noh Omar berhubung dakwaan Kabinet bersetuju melanjutkan tempoh lesen operasi Lynas sehingga tahun 2023, Khairy berkata, permohonan syarikat itu untuk memperbaharui lesennya diluluskan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB). – MalaysiaGazette