Mira Filzah.

KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Mira Filzah mengesahkan dia sudah bertunang dengan kekasihnya, Wan Emir Astar yang juga anak kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid.

Bagaimanapun, Mira ketika ditemui enggan mendedahkan secara terperinci mengenai pertunangannya itu.

“Status sekarang sudah bertunang,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran platform digital Nurflix di Bukit Jelutong, Shah Alam hari ini.

Mira juga tidak menafikan mengenai persiapan majlis perkahwinannya yang dikatakan bakal berlangsung Oktober ini.

“Saya dah bersedia (untuk berkahwin) dan kini sedang dalam fasa on-going (persediaan). Kalau berapa peratus persediaan yang sudah dilakukan, saya tak dapat jawab kerana masih di peringkat awal,” katanya.

Menurut pelakon filem Sangkar itu, dia akan maklumkan kepada media sekiranya semuanya berjalan dengan lancar.

“Insya-Allah, memandangkan kerajaan pun sudah membenarkan jumlah tetamu untuk majlis perkahwinan adalah 250 orang, tentunya saya akan sediakan tempat untuk rakan-rakan media.

“Apa-apa pun, saya akan maklumkan sekiranya semuanya sudah siap sedia,” katanya memetik laporan Harian Metro Online.

Media sebelum ini melaporkan mengenai desas desus hubungan Mira dan Emir yang dikukuhkan lagi apabila adiknya, Aina Fadhilah memanggil Emir dengan gelaran BIL (brother in law) atau abang ipar.

Terbaharu, Mira bakal muncul dalam program terbaru Nurflix, berjudul Mira Mira On The Wall dan akan memulakan penggambaran tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast