Suspek, Muhammad Najwan Zulkifli dibawa anggota penguatkuasa Veterinar hadir ke mahkamah sesyen bagi menghadapi pertuduhan membunuh 3 ekor kucing di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang membunuh tiga ekor kucing dengan melemaskan haiwan itu dalam mesin basuh di sebuah pusat dobi layan diri di Kepong pada 12 Julai lalu.

Tertuduh, Muhammad Najwan Zulkefli, 24, membuat pengakuan itu selepas kertas pendakwaan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said dan memohon dibicarakan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, N. Nageswara manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nageswara memohon mahkamah agar tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak untuk pemerhatian dan penelitian memandangkan perwatakan tertuduh tidak stabil.

Syafeera membenarkan permohonan itu bagi membolehkan Muhammad Najwan menjalani pemeriksaan selama sebulan untuk menentukan status kesihatannya.

Tertuduh boleh dikenakan tindakan mengikut Subseksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette