KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya mempercepatkan pembinaan projek infra rakyat sedia ada yang telah dihentikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak berkata, antara projek-projek yang perlu disiapkan segera iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT2), Laluan Bandar Utama–Klang (Bandar Utama–Klang line), Pengerang, Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura, lebuhraya CSR, Lebuhraya Borneo dan sebagainya.
Malah bekas Perdana Menteri itu berkata, projek pembinaan jambatan, masjid dan beberapa jalan lain turut perlu dipercepatkan pembinaannya.
“Proses untuk menganugerahkan projek-projek tersebut perlulah dipendekkan dan dipermudahkan.
“Dengan mempercepatkan projek-projek ini, lebih banyak pekerjaan baru boleh diwujudkan untuk mengganti pekerjaan sektor lain yang sudah dan tentu akan hilang.
“Dengan ini, kerajaan juga boleh mendapat manfaat dari kos harga bahan pembinaan lebih rendah ekoran harga komoditi yang lebih rendah,” katanya yang juga bekas Menteri Kewangan.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Najib memberitahu, bagi sektor-sektor tertentu yang memerlukan masa yang lebih panjang untuk pulih seperti sektor perhotelan dan pelancongan, kerajaan bersama bank-bank boleh mewujudkan skim pinjaman mudah ala PTPTN.
Ia bagi membiayai sara diri semasa mengambil kursus-kursus yang akan menaikkan taraf kemahiran dan kemampuan mereka sementara menunggu sektor masing-masing pulih.
Ujarnya, pembayaran balik pinjaman ala-PTPTN itu boleh bermula selepas sektor mereka pulih dan mereka menyambung kerja. – MalaysiaGazette