Azam Baki

KUALA LUMPUR – Berita kononnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkaitan siasatan kes kehilangan wang milik parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Mac lalu adalah tidak benar.

Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki menafikan berita penahanan bekas Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu kepada MalaysiaGazette.

Beliau telah dihubungi untuk mendapatkan kesahihan penularan berita mengenai penahanan Ahli Parlimen Muar itu dalam media sosial.

“Tak betul (Syed Saddiq ditahan SPRM),” kata Azam secara ringkas menerusi mesej WhatsApp kepada MalaysiaGazette malam ini.

Semalam, bekas Menteri Belia dan Sukan itu meninggalkan sesi perbahasan sidang Dewan Rakyat lebih awal dengan alasan perlu menghadirkan diri ke SPRM untuk memberi keterangan.

Katanya, dia dipanggil buat kali kedua oleh agensi berkenaan berkaitan siasatan kehilangan wang berjumlah RM600,000 itu pada Mac lalu sebelum polis telah membuka kertas siasatan dan telah menahan beberapa individu dipercayai ahli parti sama dan merampas wang tersebut.

Ibu bapa Syed Saddiq juga telah dirakam keterangan berhubung siasatan kes tersebut oleh SPRM.

Hari ini di media sosial tular berita yang mendakwa kononnya Syed Saddiq telah ditahan SPRM berhubung kes siasatan kehilangan wang didakwa milik parti politik itu sebelum ini.- MalaysiaGazette