IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membenarkan pengoperasian semula Memory Lane atau lebih dikenali sebagai Pasar Loken, iaitu pasar karat yang menjual barangan antik, pada Ahad ini.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata bagaimanapun, pembukaan semula operasi pasar berkenaan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) itu, hanya membabitkan kira-kira 60 peniaga sahaja pada satu-satu masa.
“Kita hanya akan membuka operasi Memory Lane di Jalan Horley sahaja manakala Jalan Lim Boh Seng masih belum dibenarkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah utama cabutan bertuah Cukai Taksiran MBI Tahun 2020 di sini, hari ini.
Beliau berkata buat permulaan, para peniaga yang mempunyai lesen bernombor ganjil akan mula berniaga pada Ahad ini manakala pelesen bernombor genap pula akan memulakan operasi pada minggu hadapan dan ia akan dilaksanakan secara berselang-seli.
Rumaizi berkata pihak MBI akan menjalankan pemantauan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan sepanjang operasi pasar berkenaan.
“MBI berharap pembukaan Memory Lane ini akan merancakkan ekonomi dan sektor pelancongan serta memberi peluang kepada para peniaga menambah pendapatan,” katanya.
Rumaizi berkata pada kebiasaannya, kira-kira 300 peniaga berniaga di pasar itu yang menjual pelbagai barangan antik dan unik.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu beliau berkata jumlah pembayaran cukai taksiran oleh pemilik hartanah menunjukkan peningkatan iaitu sejumlah RM39.45 juta melibatkan 148,174 bil pada tahun ini.
Beliau berkata jumlah itu meningkat sebanyak 14.5 peratus berbanding RM31.9 juta membabitkan 129,702 bil bagi tempoh sama tahun lepas.
“Pembayaran ini adalah tanda-tanda positif warga kota menyambut baik Bil Setahun Cukai Taksiran yang diperkenalkan serta Cabutan Bertuah yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh,” katanya.- BERNAMA