Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

KUALA LUMPUR – Dengan mengambil kira segala sumbangan serta peranan luar biasa yang dimainkan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diberi pengiktirafan tertinggi Lembaga Dunia Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Sedunia (WAGGGS) semalam.

Pengiktirafan tertinggi itu diberikan WAGGGS kepada individu cemerlang yang mempamerkan perkhidmatan luar biasa kepada pertubuhan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri pada peringkat nasional serta global.

Malah penglibatan Tuanku Azizah tidak kira di peringkat nasional mahupun global telah mendorong WAGGGS untuk tampil memberikan penghormatan serta pengiktirafan yang berprestij itu.

Tuanku Azizah amat aktif dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia secara khusunya dan memegang jawatan pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Menurut Pengerusi WAGGGS, Ana Maria Mideros yang membuat pengumuman rasmi melalui melalui saluran YouTube WAGGGS, Tuanku Azizah merupakan inpirasi kepada ramai bukan sahaja di negara sendiri sebaliknya seluruh dunia sentiasa menampilkan contoh terbaik untuk diikuti dengan menonjolkan potensi serta kebolehan luar biasa kanak-kanak, gadis-gadis muda serta wanita.

“Baginda adalah seorang insan yang hebat sekali. Sangat gigih, tekun dalam usaha membangunkan potensi kanak-kanak, gadis muda sehinggalah wanita ke arena antarabangsa menerusi Pandu Puteri. Tidak kenal erti penat lelah.

“Antara peranan baginda yang terserlah ialah ketika menjawat jawatan Presiden Pandu Puteri Malaysia cawangan Pahang, Timbalan Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Penaung DiRaja Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Ahli Lembaga Olave Baden-Powell Society dan Penaung Diraja, Friends of Asia Pacific WAGGGS (FAPW) sejak 2015 dengan keahlian sebanyak 31 buah negara seluruh dunia.

“Anugerah ini juga diberikan kepada baginda kerana penghormatan kami kepada kerja-kerja amal yang dilakukan oleh baginda dalam menyokong pembangunan dan pemerkasaan keupayaan individu serta masyarakat melalui Yayasan Ferteliti Tuaku Azizah.

“Juga kelab jahitan di Kuantan yang menyokong kekuataan ekonomi wanita, Institut Kemahiran Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam, Tenun Pahang dan Tenun Pahang Projek Diraja di Penjara Penor,” ujarnya.

Pingat pengiktirafan serta sijil rasmi dijangka disampaikan kepada baginda pada Persidangan Dunia tahun depan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Datuk Jeyadhevi Subramaniam yang dihubungi MalaysiaGazette melahirkan rasa gembira dengan pengiktirafan terhadap Raja Permaisuri Agong itu.

Padanya, pengiktirafan itu sememangnya sesuatu yang lebih layak diberikan kepada baginda yang telah banyak menyumbang kepada Pandu Puteri selama ini dan pasa masa sama telah memainkan peranan cukup penting dalam mengangkat martabat komuniti.

“Baginda adalah seseorang yang banyak mengangkat nama Pandu Puteri. Malah Tuanku Azizah juga banyak memainkan peranan sebagai penyokong aktif dalam memperjuangkan hak-hak kanak-kanak perempuan dan wanita secara amnya.

“Bukan sahaja menentang perkahwinan kanak-kanak, sebaliknya juga mempromosi pendidikan anak-anak serta pembasmian kemiskinan,” katanya. –MalaysiaGazette